Khamis, 18 Januari 2024 | 12:08pm
Seorang porter dengan wajah tenang membawa beban berat untuk dihantar ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto NSTP/Johary Indan
Seorang porter dengan wajah tenang membawa beban berat untuk dihantar ke puncak Gunung Kinabalu. - Foto NSTP/Johary Indan

Luar biasa tenaga Badang Kinabalu

RANAU: Badang Kinabalu - itulah panggilan yang sering diberikan pendaki kepada porter membawa pelbagai barangan berat untuk dihantar ke puncak Kinabalu setiap hari.

Khidmat mereka cukup diperlukan bukan sahaja oleh pengendali pusat pendakian di Laban Rata, malah pendaki juga mendapatkan bantuan mereka untuk mengangkat barangan ke pusat pendakian itu atau ketika turun ke Timpohon.

@bharianmy Luar biasa tenaga Badang Kinabalu #BeritaDiTikTok ♬ original sound - Berita Harian

Kini, khidmat porter pengangkat barang di gunung itu bukan lagi pekerjaan sambilan atau suka-suka, kerana khidmat mereka diperlukan setiap hari.

Sebahagian besar mereka yang melakukan kegiatan itu berbuat demikian secara sepenuh masa.

Tular di media sosial mengenai porter tempatan yang berulang-alik mendaki gunung itu semata-mata untuk keselesaan pendaki Gunung Kinabalu hampir setiap hari.

Seorang porter asal Tamparuli, Jerry Junim, 30, mengakui kerja mengangkat barangan berat untuk dihantar ke Gunung Kinabalu bukan perkara mudah.

"Namun, memikirkan sukarnya meraih rezeki di tempat lain, saya sanggup mendaki gunung itu membawa pelbagai beban berat untuk dihantar ke Laban Rata.

"Pada awal kegiatan itu, memang cukup melelahkan, namun lama kelamaan semua itu tidak lagi terasa apabila sudah bisa dengan pekerjaan itu.

"Semakin lama melakukan pekerjaan itu, semakin seronok pula rasanya," katanya yang sudah empat tahun menjadi porter Gunung Kinabalu.

Menurut beliau, pendapatan juga lumayan bersesuaian tenaga yang dicurahkan.

Katanya, ada lebih 50 porter berdaftar yang dibenar melakukan pekerjaan itu oleh Taman Taman Sabah di Gunung Kinabalu.

Jerry berkata, setiap perjalanan porter yang sarat membawa beban berat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke Laban Rata.

"Lazimnya, kami bertolak dari Timpohon dengan perjalanan mendaki sejauh enam kilometer jam 7 pagi dan tiba di Laban Rata jam 10 pagi.

"Selepas punggah barang, kami akan makan dan minum di Laban Rata, sebelum turun semula dengan membawa beban dari atas pula," katanya.

Berita Harian X