Selasa, 16 Januari 2024 | 9:22pm
Ahmad Zahid (tengah) melakukan simbolik perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT di (UTeM) petang tadi. NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad.
Ahmad Zahid (tengah) melakukan simbolik perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT di (UTeM) petang tadi. NSTP/ Meor Riduwan Meor Ahmad.

1,000 biasiswa percuma untuk lepasan TVET Malaysia belajar di China

MELAKA: Kerajaan China menawarkan biasiswa percuma kepada 1,000 pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini untuk mengikuti kursus di negara terbabit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kekosongan tempat itu membabitkan pelbagai kursus terutama automotif, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan bidang berteknologi tinggi yang baharu seperti kenderaan elektrik (EV).

"Tawaran itu untuk 1,000 pelajar terutama dalam bidang automotif...Kerajaan China cuma minta tiket kapal terbang saja dibayar oleh pelajar.

"Tetapi apa yang kami putuskan ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membiayai tiket penerbangan pergi dan balik pelajar TVET ini, manakala Kerajaan China akan membiayai 100 peratus kursus termasuk kemudahan penginapan dan lain-lain kos di sana.

"Ini tawaran yang baik dan saya mencadangkan 1,000 tempat ini dibahagikan dalam kalangan institusi TVET sedia ada termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN) yang lain," katanya selepas merasmikan program TVET Place & Train UTeM@KP di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, petang tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Massila Kamalrudin.

Ahmad Zahid berkata, program berkenaan tiada tempoh tertentu dan terhasil menerusi kerjasama Institut Malaysia-China dalam kerangka Inisiatif Jalur & Laluan (Belt & Road Initiative) dan ketika ini 200 pelajar tempatan sedang mengikuti kursus di beberapa institusi di China.

"Kursus itu bagi tempoh antara tiga bulan hingga setahun yang terbuka kepada pelajar lepasan TVET biarpun tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jika mengikuti kursus bersesuaian kita boleh hantar mereka," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, TVET kini bukan lagi pilihan kedua pelajar kerana bakal menerima tawaran gaji premium.

"Usaha sedang dijalankan supaya lepasan Tingkatan Tiga boleh diserap terus mengikuti TVET dan mereka akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1,2,3,4 dan 5 yang setanding SPM.

"Lepasan TVET ini juga boleh terus memasuki bidang pekerjaan kerana gajinya premium tidak seperti bidang lain mengikut industri sekitar RM1,500.

"Saya dapati ada lepasan TVET menerima gaji permulaan RM4,000 dan ini lebih baik daripada graduan kursus akademik biasa," katanya.

Ahmad Zahid berkata, banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa masuk ke negara ini memerlukan tenaga mahir yang kebanyakannya lepasan TVET.

"Melalui UTeM dan MTUN, mereka bersetuju menyelaraskan kursus ditawarkan supaya bersesuaian dengan permintaan industri.

"Ini cukup penting kerana kita tidak mahu pekerja asing menguasai bidang ini sedangkan lepasan TVET kita boleh melakukan kerja dengan produktiviti lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X