Selasa, 16 Januari 2024 | 6:49pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (berdiri dua, kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (berdiri empat, kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Datuk Azhar Ahmad (duduk, kiri) dengan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Ainul Fadhilah Samsudi (duduk, kanan) menandatangni Memorandum Persefahaman (MOU) antara RAC dengan LPNPP bagi pembangunan di sebahagian lot dekat Bandar Perai, Seberang Perai Tengah, hari ini. - Foto BERNAMA

DAP sambut baik syor RUU Penggal Tetap Parlimen

BUTTERWORTH: DAP secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen bagi membolehkan kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dapat mentadbir negara hingga tamat penggal.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menyifatkan sistem seumpama itu baik dalam mengurangkan masalah dan isu-isu politik sebelum penggal Parlimen berakhir.

Beliau menyuarakan keyakinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, akan mengetengahkan cadangan berkenaan pada peringkat Kabinet.

"Sistem Parlimen (tetap) ini memang kita bersetuju. Memang dari segi prinsipnya adalah baik kerana ia mengurangkan masalah atau pun isu politik dalam tempoh Parlimen itu.

"Sistem Parlimen ini pernah dilaksanakan di United Kingdom iaitu apabila dalam tempoh lima tahun Parlimen tidak boleh dibubarkan sewenang-wenangnya oleh Perdana Menteri.

"Namun begitu, daripada segi pelaksanaannya perlulah dilihat. Apa-apa keputusan membubarkan Parlimen mesti dibawa ke Dewan untuk diputuskan oleh Ahli Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) bagi pembangunan di sebahagian lot dekat Bandar Perai, Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Anthony berkata demikian ketika ditanya pendirian DAP berhubung cadangan mewujudkan undang-undang khusus bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas PRU mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal.

Media baru-baru ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan jika RUU itu digubal kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Berita Harian X