Selasa, 16 Januari 2024 | 4:05pm
Kawasan pembinaan dan perumahan antara tempat paling dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk yang menjadi punca penularan denggi. - Foto hiasan
Kawasan pembinaan dan perumahan antara tempat paling dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk yang menjadi punca penularan denggi. - Foto hiasan

Kawasan pembinaan, perumahan punca pembiakan nyamuk Aedes

KUALA LUMPUR: Orang ramai serta pemaju tapak pembinaan perlu bertanggungjawab memastikan persekitaran mereka bebas daripada kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ketika ini kawasan pembinaan dan perumahan antara tempat paling dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk yang menjadi punca penularan denggi.

"Punca utama pembiakan nyamuk Aedes ialah kawasan pembinaan dan perumahan.

"Beberapa kajian lalu menunjukkan penyebab pembiakan Aedes ialah pembinaan terbiar dengan takungan air, selain bahan binaan terbiar yang menakung air untuk pembiakan nyamuk.

"Kemudian, hujan akan menakungkan air dan mengakibatkan pembiakan berlaku. Penambahan penduduk dan pembukaan kawasan perumahan baharu penyebab nyamuk bertelur, pembiakan dan denggi merebak di kawasan persekitaran," katanya.

Semalam, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi mencadangkan supaya pelepasan nyamuk aedes BerWolbachia dibuat di 10 lokaliti baharu bagi menangani wabak terbabit yang semakin membimbangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata dana sebanyak RM4 juta setahun diperlukan bagi menampung kos operasi itu.

Katanya, program pelepasan nyamuk aedes BerWolbachia sudah dilaksanakan di 32 lokaliti membabitkan tujuh negeri bermula 2019 menyaksikan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 45 hingga 100 peratus, berbanding sebelum pelepasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sejumlah 123,133 kes denggi direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat 86.3 peratus berbanding 66,102 kes pada 2022.

Katanya, jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi turut meningkat kepada 100 kes pada tahun lalu berbanding 56 kes pada 2022 dan pengenalpastian 10 lokaliti itu sedang diperincikan.

Dalam pada itu, Sharifa Ezat menjelaskan, disebabkan kawasan pembinaan adalah di bawah kuasa syarikat pembinaan, tanggungjawab menjaga kebersihan dan pembiakan nyamuk perlu dimainkan secara aktif oleh pihak terbabit.

"Tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap kontraktor berkenaan jika pembiakannyamuk Aedes terbukti. Penularan dan peningkatan kes denggi akan berlaku kawasan sekitar pembinaan dan perumahan jika tidak dijaga dengan baik.

"Sampah-sampah terbiar dan air bertakung antara punca nyamuk membiak. Sungguhpun pembinaan dan perumahan banyak berlaku di kawasan bandar, pembiakan masih boleh berlaku di luar bandar," katanya.

Sementara itu, Felo Kanan, Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit dalam kenyataan semalam, mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan akses kepada vaksin baharu denggi.

Gesaan itu termasuk mempertimbangkan pelesenan terhadap vaksin denggi Qdenga (TAK-003) yang dibangunkan syarikat farmaseutikal berpangkalan di Jepun Takeda, untuk digunakan di negara ini.

Gesaan itu berikutan peningkatan jumlah kes denggi yang dilaporkan di negara ini.

Menurutnya, vaksin baharu itu berbeza dengan vaksin Dengvaxia yang dibangunkan oleh Sanofi Pasteur yang diluluskan untuk pemasaran pada 2015 bagi kegunaan global.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk ujian pravaksinasi kerana vaksin Qdenga itu sudah diluluskan untuk digunakan tanpa mengira pendedahan denggi sebelumnya.

"KKM perlu meneliti pelesenan vaksin Qdenga secepat mungkin supaya individu yang ingin divaksinasi boleh mendapat akses segera.

Dr Sai Kit turut memetik statistik KKM yang menunjukkan jumlah kes denggi di negara ini meningkat kepada 111,417 kes sehingga minggu epidemiologi ke-48 (dari 26 November hingga 2 Disember 2023), meningkat 91.3 peratus berbanding 58,239 kes sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

Pada Disember 2022, Takeda Pharmaceutical dilaporkan sudah diberi lampu hijau oleh Kesatuan Eropah untuk vaksin demam dengginya, menjadikannya suntikan kedua yang menghalang penyakit itu diluluskan oleh blok itu.

Takeda Pharmaceutical dilaporkan berkata vaksin keluarannya diberi kelulusan kawal selia oleh Suruhanjaya Eropah untuk individu berusia empat tahun ke atas, tanpa mengira sejarah pendedahan virus mereka.

Pada Oktober tahun lalu, Kumpulan Penasihat Strategik (SAGE) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan Qdenga.

Berita Harian X