Selasa, 16 Januari 2024 | 3:28pm
Mohamad ketika sidang media selepas berucap di majlis Amanat KPKM 2024 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Mohamad ketika sidang media selepas berucap di majlis Amanat KPKM 2024 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

KPKM tambah baik mekanisme rangka hala tuju industri padi, beras negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menambah baik mekanisme merangka hala tuju industri padi dan beras negara dinamakan Gelombang Padi.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya turut fokus untuk mengukuhkan tiga lagi industri sedia ada dan satu industri rintis iaitu industri padi dan beras, ayam serta telur, bawang dan tanaman nanas.

Beliau berkata, Gelombang Padi merupakan satu perubahan yang akan mentransformasi industri padi dan beras negara.

"Saya berharap inisiatif ini akan mengangkat industri padi dan beras negara ke suatu tahap yang lebih cekap dan berdaya tahan seterusnya meningkatkan pendapatan pengeluar makanan di sepanjang rantaian makanan," katanya dalam ucapan amanat bersama warga KPKM di Wisma Tani, di sini hari ini.

Terdapat 12 inisiatif dibawah Gelombang Padi termasuk, memperkenalkan Dasar Baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memulih dan membangunkan kawasan tanah jerlus dan memperkasa pembekalan input pertanian.

Selain itu, Gelombang Padi turut melibatkan inisiatif memperkukuh pengurusan air ke kawasan tanaman padi; memperluas pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan dan menambah keluasan bagi pelaksanaan Program 5x2 yang melibatkan kawasan sebanyak 3,000 hektar secara berperingkat di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Mohamad berkat,a inisiatif kesembilan ialah memperkenalkan kaedah pembayaran belian padi secara dalam talian kepada pesawah di seluruh negara bagi mengurangkan peranan orang tengah.

"Inisiatif ke sepuluh hingga ke 12 ialah mengurangkan kehilangan hasil lepas tuai; membangunkan sistem bersepadu yang mengintegrasi semua maklumat berkaitan industri padi dan beras (SMART Padi); dan membangunkan sistem soil profiling berdasarkan Site Spesific Nutrient Management (SSNM) bagi kawasan jelapang padi," katanya.

Selain itu, Mohamad berkata fokus kedua KPKM adalah industri ayam dan telur.

"Kesukaran mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) bagi menukar ladang ternakan ayam kepada sistem tertutup dikenal pasti antara cabaran utama dihadapi penternak ayam ketika ini.

"Sistem reban tertutup dapat meningkatkan efisiensi pengeluaran, mengurangkan kos pengeluaran serta memastikan kawalan kualiti keluaran hasil terjamin dan pada masa yang sama ladang tidak mencemar alam sekitar," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, KPKM perlu menerajui usaha dengan matlamat untuk mempermudahkan proses mendapatkan kebenaran merancang.

"Saya bersedia untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi sesi libat urus yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang akan diadakan dengan lebih agresif bagi tahun 2024 ini bagi menyelesai isu ini," katanya.

Berita Harian X