Selasa, 16 Januari 2024 | 11:56am
Beberapa pelajar SMK Tamparuli menggunakan jambatan gantung usang untuk berulang-alik ke sekolah. - NSTP/JOHARY INDAN
Beberapa pelajar SMK Tamparuli menggunakan jambatan gantung usang untuk berulang-alik ke sekolah. - NSTP/JOHARY INDAN

Gadai nyawa demi ilmu

TAMPARULI: Lebih 300 pelajar dari beberapa kampung di daerah ini bergadai nyawa menggunakan jambatan gantung usang untuk berulang-alik ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli.

Keadaan usang pada jambatan itu dikesan sejak dua tahun lalu, namun 105 murid sesi pagi dan 255 murid sesi petang dari Kampung Sawah, Sungai Damit, Bantayan, Dopu, Ruhiang, Kapa, Koporingan, Topokon, Rambai dan Mengkaladoi, tiada pilihan selain terpaksa terus menggunakan kemudahan berkenaan.

Difahamkan, beberapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tamparuli turut menggunakan jambatan gantung sepanjang kira-kira 100 meter itu.

Tinjauan mendapati jambatan berkenaan satu-satunya laluan terdekat untuk pelajar berulang-alik ke sekolah, namun papan yang dijadikan lantai banyak yang patah dan reput, dipercayai kerana lama tidak diselenggara.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Tamparuli, Michael Kadum, 62, berkata lebih membimbangkan, tiang utama jambatan itu didapati retak, manakala kabel utama sudah berkarat dan berisiko putus.

"Jambatan ini dibina pada 1970-an hanya untuk kegunaan pelajar dari beberapa kampung untuk berulang-alik ke sekolah. Penduduk kampung sekitar tidak dibenar menggunakannya," katanya khuatir kerana jambatan usang itu mendedahkan pelajar kepada bahaya setiap kali menggunakan kemudahan itu.

"Ada pelajar yang luka pada tangan tersangkut pada kabel tajam, ada juga pelajar yang kaki terperosok kerana papan lantai hilang. Jambatan itu cukup penting kepada pelajar, perlu segera dibaik pulih," katanya mendakwa kerja penyelenggaraan terakhir dibuat beberapa tahun lalu.

Bapa pelajar yang ditemui, mengakui bimbang dengan keselamatan anak-anak yang menggunakan jambatan gantung usang untuk berulang-alik ke sekolah berikutan papan lantai patah dan reput, selain penghadang kiri dan kanan terlalu rendah yang boleh merisikokan pelajar jatuh ke sungai di bawah.

Berita Harian X