Selasa, 16 Januari 2024 | 7:48am
Mahkamah Tinggi akan dengar permohonan Tun Daim Zainuddin dan keuarga untuk semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM. - Foto fail NSTP
Mahkamah Tinggi akan dengar permohonan Tun Daim Zainuddin dan keuarga untuk semakan kehakiman bagi mencabar siasatan SPRM. - Foto fail NSTP

Hakim Wan Ahmad Farid dengar permohonan semakan kehakiman Daim, keluarga pagi ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini akan mendengar permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka.

Permohonan itu dijangka didengar Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, pada jam 11 pagi ini.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM serta pegawainya tiada sebab munasabah untuk menjalankan siasatan bermula Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan mengikut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Permohonan terbabit difailkan Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin di Mahkamah Tinggi, 10 Januari lalu, melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas.

Turut dinamakan sebagai pemohon ialah isteri Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.

Melalui afidavit sokongan dalam permohonan berkenaan, Daim mendakwa dirinya adalah ahli perniagaan kaya dan berjaya sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam.

Menurutnya, pegangan saham cair beliau saja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini jika kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif.

Beliau menceburi bidang perniagaan dan mengasaskan bersama rakan kongsi lain, Syarikat Maluri Sdn Bhd, yang terbabit dalam pembangunan hartanah pada atau sekitar 1969.

Bekas Ahli Parlimen Merbok itu berkata, syarikat itu bertanggungjawab membangunkan perbandaran yang dikenali sebagai Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur, dengan penilaian hari ini bernilai lebih RM26 billion.

Beliau juga pemilik Malaysian French Bank dan kemudian UMBC (kini RHB), selain mempunyai kawalan serta kepentingan besar dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (Sime Darby), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia, di mana 10 peratus kepentingan dalam Nestle Malaysia hari ini dikatakan bernilai kira-kira RM3 bilion.

Selain itu, Daim mengesahkan memberi kenyataan kepada SPRM pada Februari tahun lalu, namun tidak mendengar khabar daripada agensi itu lagi hingga Jun 2023.

Pada masa sama, beliau mendakwa tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun mereka dinamakan dalam Kertas Pandora.

Empat bulan selepas pernyataan direkodkan iaitu pada 7 Jun 2023, satu Notis SPRM menurut Seksyen 36 (1)(a) Akta SPRM dikeluarkan kepada Daim dan keluarga yang memerlukan maklumat semua aset serta sumber pendapatan yang dikeluarkan dari Malaysia dari 1997 hingga kini perlu diberikan dalam tempoh 30 hari.

Menurut Daim, notis itu dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kerana mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kesalahan bagi suapan di bawah Seksyen 23 SPRM Akta dilakukan.

Pada tarikh sama, Azam didakwa menyebabkan SPRM mengeluarkan notis di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram, 2001 (AMLA) yang membekukan akaun bank peribadi dan syarikat mereka.

Berita Harian X