Isnin, 15 Januari 2024 | 9:52pm
Noor Azimah bercakap pada sidang media, hari ini. - NSTP/AZIAH AZMEE
Noor Azimah bercakap pada sidang media, hari ini. - NSTP/AZIAH AZMEE

KPM digesa kekalkan garis panduan sedia ada DLP

KUALA LUMPUR: Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) menggesa garis panduan sedia ada bagi pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dikekalkan tanpa syarat tambahan yang boleh menjejaskan keberkesanan program itu.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim, berkata DLP juga harus diteruskan bersama-sama program pemerkasaan bahasa Inggeris yang mahu dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kami telah menghantar memorandum kepada semua menteri Kabinet pada Khamis dan Jumaat lalu, supaya pelaksanaan DLP dikekalkan dengan garis panduan sedia ada serta bilangan pelajar dan kelas program itu ditambah.

"Kami dimaklumkan bahawa pemukiman Kabinet akan diadakan pada 17 dan 18 Januari ini dan antara topik bakal dibincangkan adalah mengenai pendidikan. Kami menggesa Kabinet turut membincangkan memorandum ini pada perjumpaan itu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, memorandum berkenaan juga menggesa supaya kemahuan ibu bapa memilih DLP dihormati.

"Tidak wajar memaksa ibu bapa untuk menandatangani borang tidak memilih DLP. Berilah ibu bapa pilihan sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 yang meraikan aspirasi ibu bapa.

"Benarkan sekolah yang melaksanakan DLP sepenuhnya untuk kekal. Tidak wajar memaksa ibu bapa dan murid untuk ke kelas bukan DLP apabila sekolah jelas memenuhi kriteria mampu menjalankan DLP sepenuhnya," katanya.

PAGE sekali gus menggesa supaya pengetua diberi autonomi untuk melaksanakan DLP mengikut pilihan ibu bapa, selain tidak menjalankan penilaian bahasa ke atas murid baru memasuki Tahun Satu yang masih belum mencapai kelancaran menulis dan membaca.

Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), Tan Sri Yong Poh Kon, berkata tidak dinafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi dalam era digital kini, penguasaan bahasa Inggeris juga sangat mustahak.

"Kita tidak boleh terus melakukan terjemahan kerana maklumat semakin pesat berkembang. Justeru, adalah lebih efisien untuk kita memahami subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris," katanya.

Ahli Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim pula berpandangan pelajar yang memiliki kemahiran berbahasa Inggeris akan ada kelebihan apabila memasuki pasaran pekerjaan kelak.

"Persatuan pekerja memaklumkan kepada saya bahawa apabila seseorang itu memohon kerja, mereka akan diuji dalam kemahiran berbahasa Inggeris.

"Ekonomi Malaysia adalah ekonomi terbuka dan ASEAN banyak menggunakan bahasa Inggeris walaupun negara lain mempunyai bahasa kebangsaan masing-masing. Bahasa Inggeris memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia," katanya sambil berharap pelaksanaan DLP diteruskan.

Beliau berkata, pelajar perlu diberi pendedahan seawal di bangku sekolah rendah untuk menarik minat mereka terhadap bahasa Inggeris.

"Kita perlu mengakui kehendak ibu bapa. Mereka memikirkan masa depan anak untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Dalam kalangan orang Melayu sekarang, mereka semakin berminat untuk bekerja dalam sektor swasta yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris," katanya.

Berita Harian X