Isnin, 15 Januari 2024 | 7:02pm
Dr Zambry bergambar bersama ahli akademik pada majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Dr Zambry bergambar bersama ahli akademik pada majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

KPT tumpu lima fokus tingkatkan prestasi pendidikan tinggi negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi menggariskan lima fokus utama selari dengan matlamat dan hasrat kementeriannya seperti dirangkumkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM [PT]).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata selain itu pihaknya turut menggariskan 20 landasan dalam meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

"Lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.

"Bagi fokus keempat, ia membabitkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan terakhir membabitkan pemantapan ekosistem pemboleh daya," katanya dalam ucapan ketika Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024, baru baru ini.

Mengenai 20 landasan digariskan KPT, Zambry berkata ia adalah hasil interaksi, perbincangan dengan pelbagai pihak yang pastinya mampu meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Zambry berkata, landasan utama pendidikan adalah mengenai pembentukan 'otak dan watak' iaitu kecemerlangan akademik perlu seiring dengan sahsiah seseorang.

"Ia merangkumi perkembangan ilmu, pembentukan karakter, pemurnian adab dan akhlak serta pengukuhan integriti. Oleh itu, pendidikan tinggi negara harus mampu menjadi wahana human transformer dan culture builder.

"Kedua, anjakan paradigma pendidikan seharusnya seimbang di antara paksi teknologi (technology-centric) yang mengutamakan pemerolehan kecekapan materialistik yang dapat menyemai nilai kemanusiaan, etika dan moral pelajar.

"Ini dapat memastikan bakat masa hadapan negara bukan sahaja berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi, malah mempunyai nilai dan budaya watan dalam melahirkan bakat negara bercirikan Excellence with Soul.

"Ketiga adalah berkaitan kemenjadian pelajar dan mahasiswa. Bagi memacu negara sebagai sebuah negara maju, kita mesti memastikan bakat yang dilahirkan bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga berkemahiran dan holistik.

"Kita ingin membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi intelek manusiawi dalam penyelesai permasalahan dan inovasi kreatif kepada isu masyarakat. Dengan kata lain, mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata sektor pendidikan tinggi bukan hanya untuk meningkatkan kapasiti individu dan membuka peluang untuk mempertingkat tahap sosioekonomi keluarga, malah juga sebagai penggerak ekonomi negara melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan kompetensi bakat negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Kelima, penguasaan multibahasa dan kemampuan melontarkan idea. Justeru, penguasaan bahasa Melayu tidak dikompromikan sebagai warga nusa yang teguh jati diri nasionalnya, di samping penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama komunikasi antarabangsa.

"Malah, bahasa lain dunia juga wajar untuk dikuasai. Penguasaan bahasa penting memandangkan ia salah satu aspek kepintaran manusiawi yang mempengaruhi kebolehan membuat pertimbangan dan melontarkan idea," katanya.

Antara landasan lain adalah memperkukuhkan pembangunan dan penyampaian kurikulum, pengukuhan akhlak dan integriti akademik, keupayaan menangani krisis minda dan ilmu serta kemampuan melakukan mitigasi terhadap perbezaan pandangan melalui kesedaran etika dan adab berbeza pendapat.

Selain itu, menyemai nilai dan budaya ilmu, kelaziman wacana, budaya pembelajaran dan budaya pengetahuan serta melakukan jalinan kerjasama bermakna dengan pihak industri bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi kehendak dan keperluan sebenar industri.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata walaupun tidak mempunyai halangan untuk melaksanakan fokus utama dan landasan berkenaan, ada beberapa strategi yang boleh dilihat oleh KPT bagi memperkasakan sistem pembelajaran negara.

"Kita tidak mempunyai halangan utama tetapi apa yang disebutkan dalam landasan pertama iaitu 'otak dan watak' itu mesti dilihat semula oleh KPT.

"Segala halangan itu lebih kepada persepsi dan bagaimana untuk kementerian mengubahnya. Sebagai contoh sebelum ini persepsi masyarakat terhadap pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menganggap ia adalah pendidikan kelas kedua.

"Tetapi sekarang ia sudah berjaya diangkat oleh kebanyakan kementerian melalui Majlis TVET Negara serta isu TVET ini juga sudah menjadi agenda utama negara.

"Selain itu adalah membawa sistem pendidikan kita ke arah pendigitalan, komputer riba dan telefon bimbit menjadi satu benda wajib untuk pembelajaran dan disebabkan itu kita memerlukan capaian internet yang tinggi, ia harus diperkasakan dan ia sepatutnya menjadi agenda negara," katanya.

Bagi Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir Noor Azuan Abu Osman berkata, terdapat tiga perkara menjadi tumpuan dalam institusinya iaitu memasyarakatkan universiti, mengindustrikan universiti serta mengantarabangsakan universiti.

"Pertama memasyarakatkan Universiti Malaya (UM) yang memberi impak serta nilai tambah kepada komuniti. Kita bukan hanya buat perkara biasa, contohnya buat pembersihan sungai. Tetapi kita akan masukkan aspek sains dan teknologi seperti air sungai itu boleh diminum seperti yang dilakukan di beberapa negeri.

"Kedua, mengindustrikan industri. Kita buat satu polisi iaitu dalam satu semester yang mempunyai 14 minggu, tiga minggu daripadanya kita akan menjemput orang industri serta golongan profesional.

"Mereka yang dijemput ini bukan berkongsi pengalaman, sebaliknya menggunakan pengalaman mereka menggunakan silibus yang kita tetapkan," katanya.

Tambahnya, bagi fokus ketiga iaitu pengantarabangsaan universiti ia bukan hanya membabitkan program, tetapi turut menyentuh soal pemikiran dan akademik bertaraf antarabangsa.

"UM akan mengorak langkah dan akan pergi ke luar negara bagi menubuhkan institusi ini di luar negara. Kita sedang dalam pertimbangan dan proses lihat bagaimana kita nak bawa ke sana.

"Saya kira dalam masa setahun akan ada UM di luar negara. Itu antara salah satu nak antarabangsakan universiti.

"Selain itu kita juga akan bawa program tertentu ke dalam universiti luar negara, contohnya mereka ingin dapatkan ijazah dari UM, tetapi tak perlu datang ke UM dan ini adalah program pengantarabangsaan yang sedang dibuat," katanya.

Berita Harian X