Isnin, 15 Januari 2024 | 12:37pm

37 firma minat sertai projek HSR KL-Singapura

JOHOR BAHRU: Sebanyak 37 firma pengangkutan utama dari seluruh dunia sudah menghantar Permintaan Maklumat (RFI) yang lengkap, termasuk kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, setakat ini.

Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman yakin beberapa lagi firma pengangkutan utama akan menghantar RFI mereka menjelang tarikh akhir penyerahan yang ditetapkan hari ini.

Katanya, firma yang menghantar RFI itu termasuk beberapa syarikat pengangkutan utama dari China dan Eropah.

Beliau juga menjelaskan syarikat pengangkutan Jepun tidak pernah menghantar RFI, sekali gus terkejut dengan dakwaan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan terbabit dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Namun, Fauzi berkata, memang ada beberapa firma pengangkutan Jepun yang menghadiri taklimat awal yang diadakan MyHSR pada Julai 2023.

Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman.
Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman.

"Jadi saya sedikit bingung dan hairan apabila ada laporan menyatakan firma Jepun membatalkan rancangan mereka untuk terbabit dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura sedangkan tiada satu pun firma Jepun yang menghantar RFI HSR sehingga kini (semalam).

"Setakat ini, 37 firma pengangkutan utama dunia sudah menghantar RFI kepada MyHSR dan ini menunjukkan komitmen mereka yang bukan saja sangat berminat melaksanakan projek HSR di Malaysia, malah melengkapkan kertas cadangan awal itu dengan konsep menarik, termasuk penggunaan teknologi terkini, selain turut menyatakan kos keseluruhan projek," katanya kepada BH, semalam.

Fauzi berkata, pada sesi taklimat awal projek HSR itu, pihaknya sudah menyatakan secara jelas projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Beliau berkata, ada beberapa lagi firma pengangkutan utama dunia dijangka menghantar RFI mereka dalam masa terdekat berikutan pengesahan yang sudah diberikan baru-baru ini.

Firman Jepun batal rancangan

Jumaat lalu, media melaporkan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan mereka untuk terbabit dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber melaporkan syarikat negara itu, termasuk East Japan Railway Co yang berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen dalam projek itu, tetapi memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan Kerajaan Malaysia.

Difahamkan, beberapa syarikat tempatan juga bercadang bekerjasama dengan syarikat China dan Eropah untuk membuat bidaan.

Ketika diumumkan kali pertama pada 2013, kos projek HSR KL-Singgapura dianggarkan RM72 bilion.

Bagaimanapun, projek kereta api laju sepanjang 350 kilometer itu kini dianggarkan melebihi RM100 bilion.

Pada Julai 2023, MyHSR melancarkan proses RFI bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep HSR KL-Singapura melalui model perkongsian awam swasta.

Proses RFI itu menandakan inisiatif kerajaan dalam usaha melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura menerusi mekanisme pembiayaan dan model pelaksanaan yang baharu, selain usaha untuk mempertingkat infrastruktur pengangkutan rel dan merancakkan ekonomi negara.

Tarikh akhir penyerahan RFI bagi projek HSR KL-Singapura dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024, berbanding tarikh asalnya yang ditetapkan pada 15 November 2023.

Pada 27 Julai 2023, MyHSR Corp mengadakan taklimat RFI untuk projek itu yang dikatakan menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju membina projek itu yang dijangka akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, kedua-dua negara mengumumkan penamatan projek itu apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan dicadangkan Malaysia.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan sudah membayar SG$102.8 juta (RM320,270,519.24) kepada Singapura sebagai pampasan terhadap kos ditanggung republik itu susulan pembatalan projek berkenaan.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia terbuka untuk menghidupkan semula HSR, tetapi kerajaan tidak akan membiayai pembinaan projek itu.

Pada 12 Julai lalu, pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura dilaporkan akan dibiayai sepenuhnya oleh swasta, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Fauzi dalam laporan sebelum ini juga dipetik berkata, mandat diserahkan kerajaan kepada MyHSR bagi melaksanakan semula projek HSR KL-Singapura itu tidak membabitkan kos kerajaan.

Ogos lalu, Anwar berkata, Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu berhubung projek HSR kepada Singapura.

Berita Harian X