Isnin, 15 Januari 2024 | 8:10am

Akta imuniti sepenggal kerajaan perlu selari semangat Perlembagaan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara Nasional (AWAN), Datuk Aiman Athirah Sabu melontarkan cadangan senada mengenai keperluan satu undang-undang khusus digubal bagi membolehkan kerajaan dibentuk selepas pilihan raya umum (PRU), mempunyai imuniti untuk mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal.

Antara justifikasi dibangkitkan undang-undang itu perlu bagi membolehkan kerajaan menumpukan perhatian mentadbir negara, mengelak sebarang aktiviti ganggu gugat politik tidak berkesudahan dan paling penting mewujudkan kestabilan politik negara.

Sekali imbas, terdapat kewajaran dan asas undang-undang seperti itu digubal jika dilihat dari sudut kestabilan politik serta bagi menjamin kelangsungan pentadbiran negara selepas PRU.

Hal ini boleh dilihat pasca PRU14 pada 2018 apabila wujud tiga kerajaan Persekutuan dan tiga Perdana Menteri berbeza dalam tempoh sepenggal sehingga menggugat kestabilan politik negara serta menjadi bahan gurauan negara luar terhadap Malaysia.

Selepas PRU15 2022, situasi politik negara tetap berdepan kucar-kacir apabila tiada parti atau blok parti memperoleh undi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan sehingga terpaksa dibentuk Kerajaan Perpaduan hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Namun selepas setahun Kerajaan Perpaduan berdiri, ganggu gugat politik masih tidak padam sepenuhnya, bahkan wujud pula gerakan daripada pembangkang untuk menumbangkan kerajaan.

Atas sebab itu, lahirlah pandangan supaya digubal satu undang-undang untuk menjamin kewujudan sesebuah kerajaan untuk satu penggal selepas PRU berlangsung.

Namun, cadangan itu perlu dikembalikan semula kepada Perlembagaan kerana menyentuh beberapa isu seperti Perkara 10 yang menjamin kebebasan kepada warganegara untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Aiman Athirah Sabu.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Jika akta ini diwujudkan, adakah ia bakal menyekat kebebasan Ahli Parlimen untuk berperanan secara wajar dalam kancah politik kepartian dan di Dewan Rakyat seperti mahu mengalih sokongan kepada kerajaan atau Perdana Menteri jika sehaluan lagi?

Undang-undang ini juga tidak boleh bertentangan Perkara 43(2)(a) yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memilih atau menentukan penyandang jawatan Perdana Menteri selain Perkara 55 iaitu Agong berhak memanggil, memprorog dan bubar Parlimen.

Cadangan ini juga wajar melihat dari sudut apakah implikasinya kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti?

Dari segi moral politik pula, jika cadangan penggubalan undang-undang ini sekadar memberi imuniti kepada kerajaan untuk kekal memerintah, adakah ia mampu memberi jaminan aspek tadbir urus, integriti dan ketelusannya diamal serta dipertahankan?

Undang-undang mungkin boleh melindungi sesuatu kerajaan, tetapi tidak sepatutnya menyekat kebebasan ahli Dewan Rakyat untuk mengamalkan politik matang dan terbuka, sejajar dengan amalan demokrasi berparlimen.

Berita Harian X