Ahad, 14 Januari 2024 | 5:49pm
Tasik Timah Tasoh berlatarkan panorama Bukit Chabang di Beseri antara tarikan pengunjung ke Perlis. - FAIL NSTP/AIZAT SHARIF
Tasik Timah Tasoh berlatarkan panorama Bukit Chabang di Beseri antara tarikan pengunjung ke Perlis. - FAIL NSTP/AIZAT SHARIF

'Perlis tak pernah bangkitkan soal peruntukan khas pelancongan'

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, tiada wakil kerajaan negeri Perlis membangkitkan isu permohonan peruntukan khas ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan pada 14 November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata EXCO Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad, yang menghadiri Festival Kraftangan Wilayah Utara di negeri itu bersama-sama Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman, pada 23 September 2023 juga tidak menyatakan hasrat kerajaan negeri menjayakan Tahun Melawat Perlis sepanjang program berlangsung.

"Siaran media saya sebelum ini menyebut lebih RM3.5 juta diperuntukkan pada 2023 untuk meningkatkan pelancongan Perlis.

"Ia membuktikan kesaksamaan kementerian terhadap semua negeri dan menolak dakwaan meminggirkan Perlis.

"Jika Perlis benar-benar terpinggir, mengapa negeri ini diperuntukkan dana? Komitmen MOTAC mempromosikan pelancongan negara adalah teguh, jadi tidak perlu membuat kenyataan yang mengelirukan," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

King Sing mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang mendakwa tidak menerima maklum balas berhubung peruntukan MOTAC untuk menaik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025. – BERNAMA

Berita Harian X