Ahad, 14 Januari 2024 | 4:52pm

TEKUN salur pinjaman lebih RM600 juta kepada usahawan Perak

IPOH: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) menyalurkan pinjaman mikro sebanyak RM604,659,200 kepada usahawan di negeri ini sejak penubuhannya pada 1998 sehingga Disember tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, berkata pembiayaan itu memanfaatkan 39,530 usahawan melalui 17 cawangannya di seluruh Perak.

Beliau berkata, pembiayaan itu bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan memulakan perniagaan, malah membantu mereka mengembangkan perusahaan ke peringkat lebih tinggi.

"Pada tahun lalu, di Ipoh sahaja, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM13,432,000 kepada 464 usahawan untuk meningkatkan taraf ekonomi golongan itu.

"Sebanyak RM71,947,000 telah disalurkan kepada 2,251 peminjam di Perak pada 2023 dan kami akan terus komited membantu usahawan negeri ini mengembangkan perniagaan mereka bukan hanya pinjaman kewangan tetapi khidmat nasihat dan jaringan perniagaan turut disediakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat 10 premis usahawan di Pasar Besar Ipoh yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Datuk Adam Abdul Ghani.

Abdullah Sani menambah kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) TEKUN kini masih terkawal namun meminta usahawan yang menghadapi masalah membuat bayaran balik supaya datang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

"Pada tahun lalu, kami pada kadar 12 peratus (pinjaman tidak berbayar) dan tahun ini kami sasarkan penurunan kepada angka tunggal seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Justeru, TEKUN kini proaktif untuk menggiatkan usaha mendapatkan balik pinjaman bagi membantu lebih ramai usahawan lain dan kami yakin ia dapat dicapai," katanya.

Katanya, TEKUN bukan sahaja menyediakan pembiayaan untuk usahawan, tetapi polisi dan kaedah bayaran balik yang dilaksanakannya mendidik usahawan dalam menguruskan perbelanjaan. – BERNAMA

Berita Harian X