Ahad, 14 Januari 2024 | 4:27pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melawat ruang reruai Karnival Protege@KUSKOP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick melawat ruang reruai Karnival Protege@KUSKOP di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. NSTP/Asyraf Hamzah

Penyertaan program PROTEGE capai 84 peratus - Ewon

KUALA LUMPUR: Seramai 64,511 peserta terdiri daripada lepasan universiti dan mahasiswa menyertai program di bawah Professional Training and Education For Growing Entrepreneurs (PROTEGE) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), setakat tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata jumlah itu mewakili 84 peratus daripada sasaran jumlah penyertaan bagi inisiatif berkenaan iaitu 76,690 orang menjelang 2025.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dilaksanakan oleh PROTEGE.

Beliau berkata, bagi terus mencapai sasaran 100 peratus, KUSKOP hari ini melancarkan dua program khusus iaitu Karnival Protege @ Kuskop 2024 dan Program Sembang Protege X KRU dengan kerjasama KRU Studios.

"Karnival Protege @ KUSKOP adalah pemula cara bagi pelaksanaan program keusahawanan dan kebolehpasaran yang dirancang pada tahun 2024," katanya ketika merasmikan Karnival Protege @ KUSKOP dan Program Sembang Protege X KRU di sini, hari ini.

Ewon berkata, pelaksanaan enam siri karnival itu menyasarkan 9,000 pengunjung dengan pelbagai peluang untuk usahawan membuka reruai selain sesi temu duga kepada graduan yang mencari pekerjaan.

"Inisiatif yang dirangka selari dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023 yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan menjelang 2030," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perlindungan insurans untuk usahawan yang terkesan dengan bencana banjir setiap tahun, Ewon berkata, kerajaan sudah merangka beberapa program untuk menggalakkan usahawan mendapatkan lesen dan berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Kita mempunyai beberapa program dengan PERKESO. Misalnya kita juga mempunyai program permulaan usahawan informal antara lainnya kita mahu usahawan informal yang tidak berdaftar, tidak mempunyai lesen, mendaftar secara sah memiliki permit dan lesen perniagaan supaya mereka mempunyai akses kepada perlindungan sosial.

"Perlindungan sosial termasuk insurans dan harapan (saya) supaya perlindungan sosial insurans dapat dipanjangkan kepada usahawan di seluruh negara," katanya.

Berita Harian X