Ahad, 14 Januari 2024 | 2:05pm
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti hari ini - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di Istana Besar Seri Menanti hari ini - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat utama dari 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di pekarangan Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat utama dari 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan ke-76 baginda di pekarangan Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto BERNAMA

Rakyat perlu tolak elemen negatif gugat perpaduan, keharmonian negara - Tuanku Muhriz

KUALA PILAH: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah supaya rakyat berbilang bangsa di negara ini menolak elemen negatif yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian antara kaum.

Baginda bertitah, kestabilan moral dan keharmonian sosial mengikut nilai agama penting dan perlu terus diperkuatkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Kita perlu berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di negara ini. Oleh itu, saya meminta semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran di kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka.

"Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian," titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Hari Keputeraan Ke-76, di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri serta Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan yang lain.

Tuanku Muhriz bertitah, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang baik dan jumlah kutipan hasil negeri yang membanggakan perlu diteruskan kerana ia penting untuk membantu ke arah pencapaian ekonomi negeri sekali gus dapat menjaminkan kesejahteraan rakyat.

"Untuk mengekalkan prestasi ini, saya berharap kerajaan negeri meneruskan perancangan dalam pelan tindakan khusus Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025. Pelan tersebut adalah perancangan terkini kerajaan dalam menangani isu ekonomi semasa di Negeri Sembilan dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun iklim dunia.

"Saya juga maklum bahawa kerajaan sudah membuat persediaan dengan mengukuhkan pengurusan melalui inovasi dalam pentadbiran dan mengaplikasi teknologi terbaru bagi membantu rakyat membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ini," titah baginda.

Tuanku Muhriz juga mengingatkan kepada penerima pingat dan bintang kebesaran bahawa kurniaan ini adalah sebagai satu tanda penghargaan atas jasa dan bakti yang telah diberikan.

"Kurniaan yang diberi perlu sentiasa dipelihara kerana ia mencerminkan martabat dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

"Setiap penerima mempunyai amanah dalam menjaga kemuliaan dan pengiktirafan yang dikurniakan ini dengan memastikan imej, tatasusila, tingkah laku dan keperibadian masing-masing sentiasa terpelihara," titah baginda.

Selain itu, Tuanku Muhriz turut yakin masih banyak lagi ruang meningkatkan sistem penyampaian dan pengurusan dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat dan ianya perlu sentiasa dilaksanakan berterusan berlandaskan prinsip bekerja secara telus, beretika dan berintegriti.

Berita Harian X