Ahad, 14 Januari 2024 | 11:22am
Dari kiri Tan Sri Idris Jusoh, Datuk Seri Dr Ahmad Said, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman dan Tan Sri Raja Mohamed Affandi
Dari kiri Tan Sri Idris Jusoh, Datuk Seri Dr Ahmad Said, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman dan Tan Sri Raja Mohamed Affandi

Bekas calon BN Parlimen Kemaman antara empat dilantik penasihat UMNO Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas calon Barisan Nasional (BN) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi adalah di antara empat pemimpin dilantik sebagai Penasihat UMNO Terengganu mulai semalam.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman awal Disember tahun lalu, Raja Mohamed Affandi tewas dalam saingan kerusi Parlimen Kemaman kepada calon PAS yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau tewas dengan majoriti 37,220 undi apabila hanya memperoleh 27,778 undi berbanding Ahmad Samsuri meraih 64,998 undi.

Tiga lagi pemimpin UMNO yang dilantik sebagai penasihat ialah bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh dan dua bekas menteri besar iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Said, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman serta Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Razif juga turut dilantik sebagai Pengerusi Biro Ekonomi UMNO negeri.

Pelantikan empat penasihat UMNO negeri itu diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat, mengesahkan pelantikan empat penasihat terbabit.

Rozi juga turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dilantik sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri.

Ketua UMNO bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, dilantik sebagai Setiausaha, manakala Datuk Sabri Mohd Nor, yang juga Ketua UMNO bahagian Setiu (bendahari).

Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dilantik sebagai Ketua Penerangan dan Datuk Din Adam (Dungun) sebagai Pengarah Strategik.

Rozi yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, berharap inti pati dan hala tuju dibincangkan bersama-sama dapat membawa suatu perubahan yang lebih baik kepada UMNO negeri.

Berita Harian X