Ahad, 14 Januari 2024 | 10:51am
Cadangan TPM agar satu RUU digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal - Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Cadangan TPM agar satu RUU digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal - Datuk Seri Takiyuddin Hassan

'Syor gubal RUU halang kerajaan bertukar langkah terdesak' - PAS

KUALA LUMPUR: PAS menyelar dan menyifatkan syor mewujudkan satu rang undang-undang (RUU) bagi menghalang pertukaran kerajaan sehingga ke akhir penggal sebagai kenyataan terdesak untuk terus kekal berkuasa.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata cadangan dikemukakan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO itu, jelas membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi.

"Cadangan TPM agar satu RUU digubal bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.

"Adalah menjadi suatu perundangan dan amalan yang telah selesai bahawa pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Ia selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di negara ini, tetapi semua negara yang lain dengan syarat pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti yang diterimanya sama ada di Parlimen atau saluran lain yang dibenarkan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, hal itu jelas dalam Perlembagaan dan umum mengetahui bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah, sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa.

Katanya, ia juga syarat asasi bagi memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik, menurut budi bicara baginda seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

PAS turut menempelak kenyataan Presiden UMNO itu yang kononnya mahu RUU itu digubal bagi mengelakkan berulangnya kesengsaraan rakyat susulan pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu penggal selepas PRU-14.

"PAS tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Ahmad Zahid membuat cadangan yang begitu novis, terutama sekali selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkali-kali mendakwa bahawa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?

"Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi, sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden UMNO walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti?" soalnya.

Takiyuddin turut mendakwa, cadangan terbabit adalah agenda untuk mengheret negara ke dalam krisis yang sedang didepani UMNO dengan berselindung di sebalik kata-kata hikmat 'kepentingan rakyat dan negara'.

Beliau menegaskan, sebarang usaha menyekat atau memandulkan prinsip teras dalam Perlembagaan dan amalan demokrasi iaitu sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah selagi ia menikmati sokongan majoriti adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.

Semalam, Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Katanya, melalui undang-undang itu, kerajaan akan dapat memberi tumpuan penuh mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.

Berita Harian X