Sabtu, 13 Januari 2024 | 12:11pm
Cassius Michael Kim dan Datuk Seri Najib Razak.
Cassius Michael Kim dan Datuk Seri Najib Razak.

Tindakan Najib utus surat kepada Fahmi satu tindakan terdesak - Pengarah MOTR

KUALA LUMPUR: Pengarah dokumentari 'Man on the Run' (MOTR) Cassius Michael Kim menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Razak meminta kerajaan supaya mengarahkan Netflix menarik balik tayangan dokumentari berkenaan adalah satu cubaan untuk menyembunyikan kebenaran mengenai bekas perdana menteri dan pembabitannya dalam skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Cassius Michael Kim berkata demikian ketika mengulas mengenai surat daripada bekas perdana menteri itu kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil supaya kementerian berkenaan mengeluarkan dokumentari berkenaan daripada aplikasi penstriman, Netflix.

"Di Amerika Syarikat (AS), kami percaya kepada kebebasan akhbar.

"Najib sekali lagi berusaha untuk menutup mulut pihak yang akan mendedahkan kebenaran mengenai tindakan dirinya walaupun apa yang dikatakannya (dalam dokumentari) itu adalah daripada mulutnya sendiri.

"Semua ini adalah gangguan, ...tindakan terdesak oleh orang terdesak yang sekali lagi cuba mengelak akauntabiliti dengan mengorbankan nasib rakyat Malaysia.

"Saya hanya boleh berharap mahkamah Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melihat dan mengambil tindakan terhadap perkara berkenaan.

"Saya harap mereka dapat menegakkan hak kebebasan akhbar serta memastikan prinsip integriti dan ketelusan diutamakan," katanya ketika dihubungi New Straits Times semalam.

Najib pada penggambaran dokumentari ‘Man on the Run’. - Foto Cassius Michael Kim
Najib pada penggambaran dokumentari ‘Man on the Run’. - Foto Cassius Michael Kim

Kim yang berada di Amerika Syarikat turut menyangkal pendapat peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah baru-baru ini yang mendakwa dokumentari berkenaan bermotif politik dari AS dan dibantu oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Sarawak Report.

"Tuduhan konspirasi adalah pilihan terakhir oleh mereka yang terdesak yang berusaha untuk mengaburkan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.

"Perkara ini (pembikinan dokumentari) tiada langsung bantuan yang diberikan kepada saya sama ada daripada FBI atau Sarawak Report atau sesiapa sahaja yang mungkin peguam berkenaan ingin kaitkan.

"Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown muncul dalam dokumentari, tetapi tiada penyelarasan atau kerjasama antara The Smoking Section (pasukan produksi) dan Sarawak Report.

"Sama seperti Najib, Rewcastle-Brown muncul dalam dokumentari kerana dia memahami bahawa saya sedang berusaha untuk menceritakan kisah 1MDB secara menyeluruh dan ia tidak boleh diceritakan tanpa perspektifnya," katanya.

Netflix's Man On The Run poster.
Netflix's Man On The Run poster.

Kelmarin, peguam bela Najib, Shafee Abdullah, mendakwa pihak yang diwawancara dalam dokumentari itu menyatakan pelbagai perkara terhadap Najib yang antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah.

Beliau berkata, pernyataan terhadap anak guamnya itu belum dan tidak pernah dibuktikan sama ada melalui keterangan dokumentari atau lisan saksi yang dikemukakan dalam mana-mana perbicaraan, termasuk kes 1MDB.

"Turut ditegaskan ialah pernyataan oleh pihak diwawancara terbabit satu penghinaan mahkamah terhadap prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dengan itu, ia menjadi satu penghinaan mahkamah menerusi istilah subjudis," katanya.

Dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu mula ditayangkan di Netflix minggu lalu yang kini mendapat tempat kedua dalam senarai 10 filem teratas platform penstriman berkenaan.

Cassius Michael Kim dan Najib ketika rakaman Man On The Run. - Foto Cassius Michael Kim
Cassius Michael Kim dan Najib ketika rakaman Man On The Run. - Foto Cassius Michael Kim

Berita Harian X