Jumaat, 12 Januari 2024 | 3:36pm
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan sebilah pisau yang digunakan untuk samun bersenjata di sebuah kaunter mesin ATM. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari menunjukkan sebilah pisau yang digunakan untuk samun bersenjata di sebuah kaunter mesin ATM. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Dua dalang kes samun pengguna ATM ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang bergiat aktif dalam kegiatan samun berkumpulan di ruang mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara dan Perak.

Kedua-dua suspek berusia 38 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Sentul dalam dua tangkapan berasingan di Perak dan Pahang pada Selasa dan Ahad, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima pihaknya jam 12.09 tengah malam pada 28 Disember lalu.

Menurutnya, aduan dibuat seorang lelaki berusia 30 tahun berkaitan kejadian samun mendatangkan kecederaan yang berlaku di ruang mesin ATM di sebuah bank di Kepong.

"Hasil siasatan mendapati kejadian jam 8 malam, 27 Disember lalu apabila pengadu yang bertugas di dalam kawasan ruang mesin ATM menegur suspek yang memakai topi keledar ketika memasuki premis bank.

"Suspek tiba-tiba mengacukan sebilah pisau pemotong ke arah pengadu sehingga berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka. Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala akibat dipukul dengan hulu pisau.

"Suspek kemudian mengarahkan pengadu untuk diam dan merompak tiga lagi lelaki tempatan yang kebetulan berada di ruang mesin ATM ketika itu," katanya dalam sidang media, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata suspek kemudian melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya yang berada di luar premis bank terbabit.

"Akibat dari kejadian itu, pengadu terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.

"Susulan daripada itu, kita menahan kedua-dua suspek di kediaman mereka di Perak dan Pahang.

"Dalam serbuan itu, kita turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua pasang pakaian yang dipakai ketika kejadian, dua topi keledar, sebuah motosikal serta sebilah pisau," katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan samun berkumpulan.

"Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes di Kuala Lumpur dan 28 kes di Perak.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan," katanya.

Berita Harian X