Jumaat, 12 Januari 2024 | 2:03pm
Zambry menyampaikan ucaptama pada majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Zambry menyampaikan ucaptama pada majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya. NSTP/ROHANIS SHUKRI

KPT buat jelajah seluruh negara, perkasa hala tuju pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan jelajah atau Jerayawara Kampus Madani ke seluruh negara bagi memperkasakan hala tuju pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata jelajah itu antara lain bagi mendapatkan pandangan semua pihak dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu.

Katanya, pelan itu sebagai lanjutan dan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 yang tamat pada tahun depan.

"Saya beri masa 12 bulan kepada KPT mengenal pasti tahap pencapaian dan bedah siasat secara menyeluruh masalah yang berlaku dalam institusi pendidikan.

"Dengan cara itu kita akan dapat maklumat tepat sebelum merangka strategi jangka panjang dan memasukkan pelan baharu.

"Selain itu saya bersama Timbalan Menteri Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPT juga akan turun padang bagi mendapatkan situasi sebenar serta mendengar sendiri keluh kesah pelajar. Kita mahu pastikan aspek kebajikan mahasiswa akan dititik beratkan," katanya berucap pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Dewan Tunku Cancelor, Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.

Zambry berkata, pihak berkaitan perlu mengetahui tahap sebenar pendidikan tinggi negara ini secara terbuka dan mahu pelan baharu yang akan dibangunkan itu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus lebih menyeluruh.

"Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang ditubuhkan pada tahun lalu sudah memperhalusi dasar semasa dan mengemukakan saranan penambahbaikan bagi tempoh jangka pendek dan sederhana.

"NRC sudah menyediakan landasannya, namun skop dan terma rujukannya tidak termasuk penetapan hala tuju jangka panjang pendidikan tinggi negara," katanya.

Berita Harian X