Khamis, 11 Januari 2024 | 7:39pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Koloni setinggan didakwa jejas bekalan air UMS

KOTA KINABALU: Kewujudan koloni setinggan yang besar dianggar mencecah 12,000 rumah di kawasan Sepanggar, dipercayai antara penyumbang masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata perkara itu berdasarkan pemakluman kerajaan negeri kepada UMS.

Beliau berkata, koloni setinggan menimbulkan masalah bekalan air berikutan tindakan penyambungan haram yang mengakibatkan kira-kira 18 juta liter sehari (MLD) dicuri penghuni penempatan itu.

"UMS dimaklumkan ada beberapa isu yang menyumbang kepada masalah bekalan air ini, termasuk 12,000 rumah setinggan di kawasan Sepanggar yang semakin kritikal, 18 juta MLD air dicuri setiap hari," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas isu kekurangan bekalan air yang dihadapi UMS ketika ini, hingga menjejaskan rutin harian warganya, terutama pelajar yang tinggal di kolej kediaman.

Abdul Rahman berkata, pertumbuhan pesat taman perumahan antara Kota Kinabalu dan Tuaran serta pengoperasian kilang besar yang meningkat di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) turut menyumbang kepada peningkatan permintaan air.

Pada masa sama, katanya, pengubahan paip air utama di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo antara Kota Kinabalu dan Tuaran turut menyebabkan gangguan air.

Katanya, UMS sangat terkesan dengan situasi itu memandangkan kira-kira 20,000 orang berada dalam kampus setiap hari sedangkan bekalan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan.

Atas sebab itu, katanya UMS terpaksa mengambil beberapa langkah mengurangkan beban dihadapi.

"Walaupun tidak bertanggungjawab terhadap bekalan air terawat, UMS membelanjakan jutaan ringgit sejak 2021 untuk mengurangkan gangguan air.

"Ini termasuk membeli air, memperbaiki tangki dan pam serta pengambilan air bawah tanah, tapi kemampuan UMS menyelesaikan isu air adalah terhad.

"Isu ini tidak akan selesai sepenuhnya selagi pihak JANS tidak dapat menyalurkan air secukupnya ke UMS," katanya.

Katanya, UMS sudah memulakan projek telaga tiub yang dijangka siap Mac depan, namun ia hanya mengurangkan gangguan dan tidak mampu menyelesaikan masalah di kampus.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri berjanji untuk menyelesaikan isu bekalan air itu secara pukal tetapi memerlukan masa untuk diselesaikan.

Berita Harian X