Khamis, 11 Januari 2024 | 5:26pm
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mengadakan pertemuan bersama pimpinan CUEPACS di Wisma CUEPACS, hari ini.- FOTO BERNAMA
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, mengadakan pertemuan bersama pimpinan CUEPACS di Wisma CUEPACS, hari ini.- FOTO BERNAMA

Steven Sim santuni CUEPACS, bincang isu berbangkit

KUALA LUMPUR: Steven Sim menjadi Menteri Sumber Manusia pertama melawat dan menyantuni pimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di ibu pejabat kesatuan itu.

Dalam lawatan ke Wisma CUEPACS pagi tadi, beliau meluangkan hampir sejam bertemu dan berbincang dengan kepemimpinan persatuan yang turut dihadiri Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat.

"Walaupun CUEPACS dan penjawat awam secara amnya di bawah pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi oleh sebab CUEPACS didaftar di KSM, menjadi tanggungjawab saya untuk mengetahui sendiri isu dan cabaran dihadapi pihak kesatuan.

"Sebagai menteri yang berkhidmat bersama-sama penjawat awam, sudah tentu hasrat saya adalah memberikan kerjasama, menjalin kerjasama dan hubungan baik dengan penjawat awam," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan hasil perbincangan dengan CUEPACS, Sim berkata, beberapa perkara berkait soal penjawat awam dibincang bersama sepanjang pertemuan itu.

Sim menyatakan komitmen membawa isu berbangkit untuk diteliti dan dibincangkan dalam kementerian diterajuinya secara lebih terperinci.

"Beberapa isu berkaitan pekerja terutama kakitangan dalam sektor awam kami bincangkan bersama.

"Saya berjanji mana yang di bawah bidang kuasa KSM, kita akan lihat dan bincang dalam kementerian secara dasar dan dibawa kepada pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, kunjungan Menteri Sumber Manusia baharu itu mencerminkan prinsip dan kesungguhan beliau berdiri bersama warga pekerja.

"Ini julung kalinya Menteri Sumber Manusia bertindak proaktif untuk turun sendiri ke lapangan bagi bertemu CUEPACS, sekali gus memberi harapan besar kepada kami dalam melihat lebih banyak penambahbaikkan dasar untuk golongan pekerja di negara ini.

"CUEPACS akan terus memberi sokongan terutama membabitkan tiga teras utama yang diberi penekanan iaitu memperkukuh kebajikan, meningkatkan kemahiran dan menaikkan keberhasilan pekerja," katanya.

Berita Harian X