Khamis, 11 Januari 2024 | 2:59pm
Tun Daim Zainuddin
Tun Daim Zainuddin

Daim, keluarga mohon mula kebenaran semakan kehakiman cabar siasatan SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya mengemukakan permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka.

Dalam permohonan itu, Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya "tiada sebab munasabah" untuk menjalankan siasatan yang bermula sejak Februari 2023, yang akan membawa kepada pendakwaan oleh Pendakwa Raya terhadap mereka.

Jika mahkamah memberikan kebenaran itu, Daim dan keluarga memohon perintah supaya SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan yang dimulakan terhadap mereka sehingga kini, menurut Aturan 53 Kaedah 3(8) Kaedah-KaedahMahkamah, 2012.

Permohonan itu difailkan Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas.

Turut dinamakan dalam permohonan kebenaran itu ialah isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd sebagai pemohon pertama hingga ketujuh.

Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden.

Daim dan keluarga memohon perisytiharan bahawa SPRM dan pegawainya tiada sebab munasabah untuk menyiasat mereka yang akan membawa kepada pendakwaan bagi sebarang kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia, 2009 (Akta SPRM) atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram, 2001 (AMLATFPUAA).

Mereka memohon perisytiharan bahawa walaupun pertuduhan bertujuan untuk dimulakan oleh Pendakwa Raya, ia menyalahi perlembagaan dan tidak sah kerana mereka tidak akan menerima perbicaraan yang adil.

Ini mengambil kira kelewatan kira-kira 22 tahun (untuk memulakan tuduhan) dan dengan itu melanggar hak asasi "kebebasan peribadi" setiap pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan, bahawa notis yang dikeluarkan SPRM menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Berita Harian X