Khamis, 11 Januari 2024 | 8:33am
Pengarah Upper Padas Power Sdn Bhd, Lim Chin Hong ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama media Sabah, di Kota Kinabalu, semalam. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin
Pengarah Upper Padas Power Sdn Bhd, Lim Chin Hong ketika ditemui pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama media Sabah, di Kota Kinabalu, semalam. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas bakal redakan masalah air di Sabah

KOTA KINABALU: Isu kekurangan bekalan air di Sabah ketika ini mampu ditangani dengan lebih baik menerusi pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom.

Projek bernilai RM4 bilion itu disasar mampu membekalkan sehingga 6,000 juta liter sehari (MLD) air terawat, selain tenaga elektrik yang dapat menampung 15 peratus daripada keperluan pengguna di Sabah.

Pengarah Upper Padas Power Sdn Bhd, Lim Chin Hong, berkata penjanaan tenaga elektrik menerusi projek itu disasar bermula setelah pembinaan rumah kuasa siap sepenuhnya pada 2029, manakala untuk bekalan air, loji rawatan air (LRA) boleh disiapkan dua tahun lebih awal.

Katanya, fungsi untuk membekal air bersih dari empangan itu sedang dikaji dan dijangka siap April depan, sebelum hasil kajian yang terperinci dibentangkan ke Kabinet negeri.

"Untuk projek membekal air, ia boleh disiapkan pada 2027 dan kajian lengkap sedang dibuat sebelum dibentang ke Kabinet negeri bagi menangani krisis air di Sabah.

"Empangan itu nanti boleh membekal sehingga 6,000 MLD berbanding permintaan air ketika ini kira-kira 700 MLD, jadi ia akan bertahan lama," katanya ditemui selepas majlis bersama media Sabah, di sini, semalam.

Bekalan air bersih dari empangan itu, katanya mampu dibekalkan sehingga ke Sipitang, Beaufort dan Kimanis yang berjarak lebih 100 kilometer.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyebut kepentingan projek empangan hidroelektrik itu bukan saja untuk membekal tenaga melalui sumber boleh baharu, malah untuk menyediakan bekalan air kepada penduduk negeri ini.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja sehari beliau ke Sabah pada 7 Disember lalu.

Projek itu dilaksanakan secara usaha sama di antara kerajaan Sabah menerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dengan Gamuda dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Bagi penjanaan tenaga elektrik, empangan itu bakal menjana 187.5 megawatt (MW) yang akan disalurkan ke sistem Grid Sabah apabila projek itu siap sepenuhnya dan mulai beroperasi pada 2029.

Sementara itu, Chin Hong berkata setakat ini projek empangan berkenaan berjalan dengan baik dan menepati jadual kerja yang ditetapkan.

Ketika ini, beliau berkata pihaknya sedang melaksanakan kerja tambahan untuk reka bentuk rumah kuasa, selain rundingan dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan pihak berkaitan lain berhubung projek itu.

"Kita juga berurusan dengan pihak lain seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan masyarakat setempat berkaitan dengan aspek kelestarian.

"Turut terbabit ialah Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar berkaitan pengurusan hidupan liar dan hutan mengikut kaedah atau peraturan yang betul," katanya.

Berita Harian X