Rabu, 10 Januari 2024 | 5:09pm
Anwar dan Hsien Loong mempunyai jadual sibuk, menghadiri dua majlis peringkat tinggi yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.
Anwar dan Hsien Loong mempunyai jadual sibuk, menghadiri dua majlis peringkat tinggi yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.

Pertemuan penting Anwar-Hsien Loong esok, komitmen 2 projek mega

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong esok.

Pertemuan itu disifatkan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura, apabila kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka dalam dua projek mega.

Anwar dan Hsien Loong akan mempunyai jadual sibuk esok kerana mereka akan menghadiri dua majlis peringkat tinggi yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.

Pada sebelah pagi, kedua-dua pemimpin dijadual melawat projek Sistem Transit Aliran (RTS LINK) di sini dan akan diberikan taklimat mengenai maklumat terkini kemajuan projek bernilai berbilion ringgit itu.

Link RTS adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen - satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.

MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan, yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.

Setelah siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.

Selain RTS, Anwar dan Hsien Loong kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dan Singapura.

Idea penubuhan zon itu pertama kali dicetuskan Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli selepas pertemuan dengan kerajaan negeri Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lalu, yang mana dua bulan selepasnya kedua-dua negara bersetuju mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas berkenaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengalu-alukan idea berkenaan dan menyatakan bahawa kejayaan zon ekonomi itu boleh membawa kepada pengembangan pesat seperti bandar Shenzhen di China, yang berubah daripada sebuah bandar kecil berpenduduk kira-kira 300,000 orang kepada bandar raya metropolis antarabangsa berteknologi tinggi didiami lebih 17 juta orang selepas empat dekad.

Pada 2022, Johor dilaporkan menerima pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor.

Singapura selaku pelabur asing kedua terbesar di negeri itu menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Johor dalam sektor pembuatan.

Justeru, pewujudan zon ekonomi baharu bukan sahaja akan mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura, tetapi juga bakal menjadi hab ekonomi menarik di rantau Asia. – BERNAMA

Berita Harian X