Rabu, 10 Januari 2024 | 3:36pm

Langkah Dubai: Tuan Ibrahim gesa tindakan terhadap J-KOM

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-KOM) yang didakwa memulakan khabar angin berkenaan gerakan Langkah Dubai.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam hantaran di Facebook berkata, laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu, menggesa tindakan diambil bagi spekulasi percubaan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

"Sibuk dalam medsos (media sosial) membicarakan Langkah Dubai, ada yang report (buat laporan) polis dan desak ambil tindakan dan bagai lagi.

"Nak tanya sapa yang mula bawa cerita Langkah Dubai ni. Bukankan J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) yang memulakan.

"Ambil tindakanlah kepada yang memulakan isu ini," katanya.

Pada 30 Disember lalu, BH memetik Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-KOM, Datuk Ismail Yusop, mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada 'pegawai' yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan 'tebuk atap'.

Selain pemimpin PN, beliau dilaporkan mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isnin lalu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Berita Harian X