Rabu, 10 Januari 2024 | 2:55pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Cabul anak saudara, lelaki ditahan polis

TAWAU: Seorang lelaki ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Bombalai Laut, Sungai Imam, di sini, selepas disyaki mencabul kehormatan anak saudara perempuannya berumur 20 tahun, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku jam 11.04 malam di kuarters sebuah ladang kelapa sawit ketika suspek berusia 57 tahun didakwa memasuki bilik tidur mangsa yang ketika itu tidak berkunci.

Menurutnya, suspek dikatakan memberi amaran supaya mangsa tidak bersuara.

"Mangsa yang tidak selesa kemudiannya terjaga lalu menjerit ketakutan menyebabkan suspek melarikan diri.

"Laporan polis telah dibuat mangsa pada jam 4.08 petang semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota polis dari Balai Polis Bombalai telah mengesan dan menahan suspek kurang 24 jam.

"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tawau untuk siasatan lanjut mengikut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan," katanya.

Berita Harian X