Rabu, 10 Januari 2024 | 1:38pm
Rosaniza Ab Rashid, 53 (tiga, kiri) membantu mengisi air telaga kepada penduduk setempat sebagai persediaan gangguan bekalan air di Kampung Sungai Batu, Georgetown. - Foto BERNAMA
Rosaniza Ab Rashid, 53 (tiga, kiri) membantu mengisi air telaga kepada penduduk setempat sebagai persediaan gangguan bekalan air di Kampung Sungai Batu, Georgetown. - Foto BERNAMA

6 jentera tangki air bomba, siap sedia sepanjang gangguan bekalan air

GEORGETOWN: Seramai 893 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan kejadian sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual di negeri ini, sehingga Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Pulau Pinang, Khairy Sulaiman, berkata sebanyak enam jentera lori tangki yang masing-masing dengan kapasiti 10,000 dan 20,000 liter sudah sedia diisi dengan air bagi tempoh itu.

Katanya, penggunaan jentera itu bergantung kepada situasi, khususnya bagi kejadian kebakaran.

"Kesemua jentera lori tangki itu bukan sahaja diisi dengan air terawat (dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) tetapi boleh menyedut air daripada sumber terbuka seperti air laut, sungai, kolam dan tasik.

"Kesemua jentera akan dipastikan diisi dengan air yang cukup selepas digunakan dan kita juga mendapat kerjasama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bagi membekalkan air sekiranya perlu," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Pekerja Restoran Hameediyah di Georgetown menunjukkan air yang disimpan dalam 30 tong air besar bagi persediaan menghadapi gangguan bekalan air. - NSTP/Mikail Ong
Pekerja Restoran Hameediyah di Georgetown menunjukkan air yang disimpan dalam 30 tong air besar bagi persediaan menghadapi gangguan bekalan air. - NSTP/Mikail Ong

Khairy berkata, jika penggunaan air dari jentera lori tangki itu tidak mencukupi atau kritikal, JBPM Pulau Pinang menerusi Pusat Gerakan Operasi (PGO) akan meminta bantuan pasukan bomba daripada negeri berhampiran iaitu Kedah atau Perak.

"Kita juga mempunyai bantuan unit udara termasuk beberapa aset lain sekiranya diperlukan," katanya.

Menurut Khairy terdapat seramai 893 pegawai dan anggota JBPM yang bersedia sepanjang tempoh berkenaan.

Terdahulu, BH melaporkan kira-kira 590,000 penduduk Pulau Pinang berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini sehingga Ahad bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua.

Ia membabitkan lebih 50 lokasi di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan pulau dijadual mengalami gangguan bekalan air kecuali beberapa kawasan di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Teluk Bahang yang mendapatkan bekalan air dari LRA Air Itam dan LRA Teluk Bahang.

Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Berita Harian X