Rabu, 10 Januari 2024 | 11:41am
Aliran anak Sungai Kangkar Tebrau yang sebesar parit akibat kesan pelebaran Lebuh Raya Pasir Gudang dipercayai antara penyumbang banjir besar di Kampung Kangkar Tebrau, semalam. - Foto NSTP/Omar Ahmad

Sikap pengotor PATI antara punca banjir besar Kampung Kangkar Tebrau - Penduduk

JOHOR BAHRU: Anak Sungai Kangkar Tebrau yang tidak dilebarkan dan didalamkan sejak 10 tahun lalu dipercayai antara penyumbang banjir besar di Kampung Kangkar Tebrau di sini, semalam.

Penduduk juga mendakwa kehadiran lebih 3,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) antaranya etnik Rohingya, Bangladesh dan Nepal memburukkan lagi keadaan.

Sikap pengotor warga asing juga menyumbang sekatan aliran air anak Sungai Kangkar Tebrau ke Sungai Tebrau. - Foto NSTP/Omar Ahmad
Sikap pengotor warga asing juga menyumbang sekatan aliran air anak Sungai Kangkar Tebrau ke Sungai Tebrau. - Foto NSTP/Omar Ahmad

Penduduk, Abdul Razak Tarmidi, 63, berkata sistem perparitan tidak diselenggara dan keadaan aliran sungai tidak sesuai dengan pembangunan sekeliling.

Katanya, kehadiran PATI yang pengotor apabila gemar membuang sampah di tepi rumah dan sungai menjadi punca aliran anak sungai ke Sungai Tebrau tersekat.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. - Foto JIM NEGERI JOHOR.

Dia yang tinggal di kampung itu sejak lahir berkata banjir kali ini sama seperti banjir akhir 2006 dan awal 2007.

"Tolong betulkan sistem perparitan kerana anak Sungai Kangkar Tebrau yang berada di belakang kampung ini. Anak sungai cetek dan aliran anak sungai menuju ke Sungai Tebrau hanya bersaiz parit.

"Anak sungai bersaiz parit terjadi selepas pelebaran Lebuh Raya Pasir Gudang. Penduduk tidak menolak pembangunan tetapi lihat sama sistem perparitan sesuai atau tidak dengan aliran air yang datang dari pelbagai arah.

"Apabila aliran air kecil dan tersekat, air akan melimpah ke kampung yang boleh diibaratkan sebagai kolam tadahan. Pihak berkuasa juga tolong pantau PATI di kampung ini," katanya.

Bagi pekerja elektrik, Engku Mohammad Ungku Abdul Rashid, 47, penyelenggaraan longkang, parit dan anak sungai akan mengurangkan risiko kekerapan banjir

Katanya, ketika ini penduduk kerap berhadapan banjir sama ada banjir kilat atau banjir besar.

"Kita tidak menolak pembangunan, orang kampung setuju pembangunan, yang penting sistem perparitan perlu diperbaiki itu yang kita perlukan.

"Selagi sistem perparitan tidak diperbetulkan dan anak sungai tidak didalamkan, masalah banjir tidak akan selesai.

"Memang tidak akan selesai tetapi sekurang-kurangnya kalau diperbetulkan dua perkara ini, risiko banjir yang kerap berlaku dapat dikurangkan, nak selesai 100 peratus itu mustahil," katanya.

Sementara itu, juruteknik, Mohd Saifuddin Mohd Nasir, 37, memaklumkan permasalahan utama penduduk telah diajukan kepada pihak berwajib.

Bagaimanapun, katanya walau berganti wakil rakyat tiada juga penyelesaian.

"Selenggara parit, longkang dan sungai itu yang paling penting, kurang sikit banjir, sekarang ini sudah kerap sangat, terlalu kerap.

"Wakil rakyat silih berganti tetapi penyelesaian tiada," katanya.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. - Foto JIM NEGERI JOHOR.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. - Foto JIM NEGERI JOHOR.

Berita Harian X