Rabu, 10 Januari 2024 | 11:20am
Jangan sangka hanya orang tua, individu obesiti hidap diabetes - Pakar
Jangan sangka hanya orang tua, individu obesiti hidap diabetes - Pakar

Jangan sangka hanya orang tua, individu obesiti hidap diabetes - Pakar

KOTA BHARU: Dianggarkan hampir lima juta penduduk negara ini menghidap penyakit kencing manis pada 2019 dengan individu berusia 25 tahun ke bawah merekodkan peningkatan ketara.

Pegawai Perubatan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Nurfariha Mohamed Zalami, berkata trend dalam kalangan golongan muda itu amat membimbangkan.

Katanya, masyarakat sering menganggap penyakit kencing manis hanya dihidapi golongan tua atau individu obesiti.

Beliau berkata individu tidak bergejala tetapi mempunyai faktor genetik menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol serta sejarah kencing manis ketika mengandung juga antara golongan berisiko tinggi.

"Antara tanda-tanda menghidap penyakit kencing manis ialah kerap minum air atau dahaga, kerap lapar, kerap buang air kecil serta cepat letih.

Pegawai Perubatan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Nurfariha Mohamed Zalami.
Pegawai Perubatan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nik Nurfariha Mohamed Zalami.

"Bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda berkenaan dinasihatkan segera ke premis kesihatan terdekat untuk melakukan saringan kesihatan.

"Selain itu, masyarakat juga digalakkan menjalani ujian saringan darah untuk kencing manis bagi mengawal paras gula dalam darah selain mengekalkan gaya hidup sihat tanpa sebarang komplikasi penyakit," katanya.

Berdasarkan maklumat Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), peratusan pesakit kencing manis di Malaysia meningkat daripada 8.4 peratus pada 2015 kepada 9.4 peratus pada 2019.

Jika dinisbahkan purata mengikut etnik, kaum India menduduki carta kes kencing manis tertinggi iaitu sebanyak 31.4 peratus

diikuti kaum Melayu 22.6 peratus dan Cina 15.1 peratus.

Dr Nik Nurfariha berkata, penyakit kencing manis sebenarnya mampu dikawal sendiri jika pesakit tahu strategi penjagaan kendiri.

"Pengurusan kendiri merujuk kepada keupayaan individu yang mengalami kencing manis menguruskan pemeriksaan sendiri, mengenal pasti gejala bahaya dan boleh mengamalkan aktiviti untuk mencegah daripada mendapat komplikasi kronik seperti sakit jantung, kerosakan saraf, penyakit buah pinggang, gangguan mata atau penglihatan dan strok.

"Ini sangat penting untuk mengekalkan hidup sihat tanpa komplikasi dan pada masa yang sama mengurangkan beban kepada sumber penjagaan kesihatan serta memantau tahap gula dalam badan masing-masing.

"Ini berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan pengurusan kendiri pesakit kencing manis sebenarnya memberi kesan yang jauh lebih baik sekali gus dapat mengelak peningkatan dalam kos rawatan perubatan," katanya.

Dr Nik Nurfariha berkata, ahli keluarga dan komuniti terdekat juga dinasihatkan untuk memastikan pesakit kencing manis mempunyai mekanisme tindakan keselamatan sekiranya mengalami tanda gejala hipoglisemia atau hiperglisemia.

"Gejala hipoglisemia adalah apabila gula rendah dalam darah dan biasanya bacaan gula kurang dari 3.9mmol/L di mana pesakit akan mengalami rasa berdebar, berpeluh dan berasa ketar pada bahagian tangan dan kaki.

"Gejala hiperglisemia pula adalah apabila gula terlalu tinggi dalam darah dan pesakit biasanya akan kerap minum air atau dahaga, kerap membuang air kecil dan berasa cepat letih.

"Segera dapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda menghidap kencing manis terutama dengan gejala hipoglisemia dan hiperglisemia," katanya.

Berita Harian X