Selasa, 9 Januari 2024 | 5:35pm
Ketua Pengarah Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin.
Ketua Pengarah Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin.

36 imam dari 14 wilayah China jadi duta pelancongan mesra Muslim

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 36 imam dari 14 wilayah China akan menyertai lawatan pengenalan pelancongan Mesra Muslim dengan tema 'Imam Fam Trip: Discover Muslim-Friendly Malaysia' bermula esok, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan Malaysia khususnya dalam kalangan Muslim dari negara itu.

Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Nizran Noordin berkata, usaha mempromosi pelancongan mesra Muslim dimulakan melalui kunjungan imam pelbagai masjid di China mengambil kira pengaruh dimiliki mereka dalam kalangan masyarakat Cina Muslim.

"Fam Trip selama tujuh hari bermula esok dianjurkan ITC dengan kerjasama Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) diadakan khusus untuk memperkenal dan mendedahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim.

"Ia juga bertujuan menarik lebih ramai pelancong khususnya dari China memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam lawatan pengenalan ini, 36 imam terbabit akan mengikuti lawatan yang tidak hanya fokus kepada aktiviti keagamaan semata-mata.

"Kita akan mempromosi atau memperkenalkan keunikan dan keistimewaan budaya Malaysia dengan bawa mereka ke tempat yang mempunyai tarikan di negara ini.

"Dengan aktiviti lawatan ini, kita boleh dedahkan keunikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim dan menarik minat lebih ramai pelancong khususnya pelancong Muslim daripada China.

"Jadi, kumpulan pertama ini akan kembali ke negara mereka dan akan jadi 'brand ambassador' (duta jenama) dan bekerjasama dengan MICA sebagai agensi pelancongan selain membawa pelancong dalam kalangan kariah masjid masing-masing untuk berkunjung di sini.

"Insya-Allah, strategi ini akan membuahkan hasilm tetapi memerlukan semua imam ini untuk pulang ke China dan memberi promosi dalam kalangan ahli kariah masing-masing, sekali gus datang ke Malaysia khususnya pada Ramadan tahun ini," katanya.

Fam Trip ini bakal berlangsung hingga Selasa depan dengan banyak aktiviti diadakan termasuk lawatan ke masjid, aktiviti keliling pulau di Selat Melaka, melawat dusun durian di Bentong, Pahang serta tarikan lain sekitar Lembah Klang.

Ditanya mengenai pemilihan Cina Muslim di China sebagai sasraan berbanding negara lain, beliau berkata mereka menyumbang ketibaan pelancong lebih tinggi untuk Malaysia berbanding negara lain.

"Ini satu pasaran sebelum ini yang tidak diberi penekanan. Jadi, ini satu 'blue ocean strategy' yang kita lihat akan beri kelainan dan kemajuan serta pertumbuhan kepada pelancongan negara kita.

"Ini satu pasaran baharu di mana kita lihat golongan Muslim di China yang rasmi adalah 30 juta dan ia bilangan besar serta berpotensi melonjakkan sektor pelancongan di negara kita," katanya.

Berita Harian X