Selasa, 9 Januari 2024 | 3:27pm
Datuk Armizan Mohd Ali (kanan) memsukkan diesel ke jentera pada lawatan kerja di syarikat Perceptive Logistics Sdn Bhd, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang bagi meninjau persiapan pelaksanaan secara rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) oleh pihak syarikat di bawah Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Datuk Armizan Mohd Ali (kanan) memsukkan diesel ke jentera pada lawatan kerja di syarikat Perceptive Logistics Sdn Bhd, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang bagi meninjau persiapan pelaksanaan secara rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) oleh pihak syarikat di bawah Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Projek rintis Sistem MySubsidi Diesel dan Fleet Card bermula 1 Februari

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan projek rintis untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak bermula 1 Februari depan.

Menteri berkaitan, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata setakat ini enam syarikat pengangkutan barangan terpilih untuk projek rintis berkenaan iaitu Perceptive Logistic Sdn Bhd; Multimodal Freight Sdn Bhd; Mun Chuen Transport Sdn Bhd; Tan Swee Hee Sdn Bhd; Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd.

Kaedah itu adalah di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) membabitkan syarikat pengangkutan barangan.

Katanya, enam syarikat pengangkutan barangan yang terpilih adalah syarikat yang mana kuota Skid Tank mereka akan luput pada bulan ini dan akan menerima kuota melalui saluran Fleet Card.

"Projek rintis ini bertujuan menguji Sistem MySubsidi Diesel KPDN dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

"Sesi libat urus bersama syarikat perintis sudah dilaksanakan untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan untuk memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel," katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan kerja di sini, hari ini.

Beliau berkata, mekanisme menggunakan Fleet Card adalah usaha untuk beralih ke teknologi digital dalam mengawal selia barang bersubsidi di bawah KPDN.

Katanya, syarikat -syarikat barangan yang terbabit boleh memohon kuota melalui Sistem MySubsidi Diesel KPDN, dan seterusnya memohon Fleet Card daripada syarikat minyak yang menjadi pilihan mereka sendiri.

Armizan berkata, selain menangani isu kenaikan harga barangan, perluasan penggunaan saluran Fleet Card kepada Sektor Barangan di bawah SKDS 2.0 juga adalah bagi menambah baik kaedah kawal selia dalam pemberian kuota diesel bersubsidi supaya hanya kenderaan yang layak dapat menikmati subsidi yang diberikan.

"la akan dapat menangani risiko ketirisan dan penyeludupan diesel bersubsidi dengan lebih cekap dan efektif melalui kaedah digital.

"Kerajaan akan memastikan agar keperluan rakyat sentiasa diberikan perhatian yang utama dalam pelaksanaan sistem ini kelak.

"Pihak KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun 2024," katanya.

Berita Harian X