Selasa, 9 Januari 2024 | 2:40pm
Azalina (kanan) berkata Malaysia akan meneruskan usaha menamatkan ‘Final Award’ AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) dikeluarkan Stampa ke atas negara.
Azalina (kanan) berkata Malaysia akan meneruskan usaha menamatkan ‘Final Award’ AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) dikeluarkan Stampa ke atas negara.

Tamatkan Final Award, Malaysia akan noktah tuntutan Kumpulan Sulu - Azalina

KUALA LUMPUR: Selepas Dr Gonzalo Stampa yang terbabit dengan tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah menghina mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara, tumpuan Malaysia kini terarah kepada usaha menamatkan 'Final Award' yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha menamatkan 'Final Award' AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang dikeluarkan Stampa ke atas negara ini penting kerana ia sekali gus akan menoktahkan tuntutan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Beliau turut menegaskan, dengan perkembangan terkini termasuk keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol ke atas Stampa itu juga menjadi bukti usaha kerajaan dalam menangani dan menghentikan penipuan Sulu tidak sia-sia.

"Ketika ini, (perjuangan menghentikan) tuntutan Sulu masih perlu diteruskan dengan menamatkan 'Final Award'," katanya menerusi ciapan di laman X.

Semalam, Stampa yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu didapati bersalah menghina mahkamah serta dihukum penjara enam bulan, dengan Malaysia menyifatkan ia sebagai satu kejayaan penting prinsip kedaulatan undang-undang.

Selain hukuman penjara, Stampa turut dikenakan larangan untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Pertuduhan jenayah ke atas Stampa yang bertanggungjawab atas penipuan dinamakan "Anugerah Sulu" sebanyak AS$14.9 bilion di Mahkamah Jenayah Madrid, Sepanyol, adalah permulaan keadilan kepada 32 juta rakyat Malaysia.

Stampa dinamakan sebagai defendan dalam prosiding jenayah di Sepanyol yang dibawa Pejabat Pendakwa Raya negara itu dan Malaysia, dan akan berdepan pertuduhan menghina mahkamah dan amalan profesion tanpa kelayakan.

Azalina berkata, mahkamah Sepanyol, Perancis dan Belanda mengesahkan kedudukan keseluruhan Malaysia berhubung kes Sulu dan mengenai Award Akhir yang kononnya dikeluarkan Stampa pada 28 Februari 2022 yang menuntut Malaysia membayar AS$14.9 bilion.

Mahkamah Tinggi Sepanyol sebelum ini mengisytiharkan pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dan memerintahkannya untuk menamatkan prosiding, kerana satu-satunya hak beliau untuk bertindak sebagai penimbang tara adalah terbatal.

Stampa yang memperoleh lebih AS$2.5 juta daripada kumpulan mengaku waris Sulu (dibiayai oleh pembiaya litigasi, Therium), dengan sedar enggan mematuhi perintah itu.

Mahkamah di Perancis dan Belanda pula mengisytiharkan pada Jun lalu bahawa Malaysia tidak pernah setuju perkara itu dibawa kepada timbang tara, dan oleh itu timbang tara palsu tidak sepatutnya berlaku.

Mengulas lanjut situasi terpalit Stampa ketika ini dengan status keabsahan Final Award yang pernah dilaporkan sebelum ini, Azalina mengibaratkan ia tidak ubah seperti pemerolehan geran tanah secara penipuan.

Berita Harian X