Selasa, 9 Januari 2024 | 1:46pm
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendengar luahan perasaan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berhimpun sambil memegang kad bertulis mengenai isu bekalan air UMS bertempat di dihadapan Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Tun Fuad UMS semalam. NSTP/RAFIQAH DAHALI.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendengar luahan perasaan sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berhimpun sambil memegang kad bertulis mengenai isu bekalan air UMS bertempat di dihadapan Dewan Serbaguna Kolej Kediaman Tun Fuad UMS semalam. NSTP/RAFIQAH DAHALI.

Ada pelajar UMS tak mandi berhari-hari sejak tahun lalu - MPP

KOTA KINABALU: Krisis air dialami kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, menyebabkan pelajarnya terpaksa mandi ala kadar, malah ada yang sanggup tidak mandi berhari-hari sejak tahun lalu.

Careraker Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Mohd Dhan Dhan Farsaudi, mengakui situasi itu memang berlaku kerana sukar untuk dielak memandangkan bekalan air yang ada di kampus amat terhad.

Beliau berkata, dengan jumlah pelajar tinggal di kolej kediaman di antara 6,000 hingga 7,000 orang, bekalan air yang sedikit dari sumber paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan yang dihantar dengan lori tidak memadai.

Disebabkan itu, katanya pelajar yang menghuni kira-kira 20 blok kediaman di tiga kolej kediaman dalam kampus UMS, di sini, terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk memenuhi keperluan masing-masing.

"Daripada semua blok kediaman itu, hanya beberapa blok ada air pada satu-satu masa, jadi pelajar yang tinggal di kampus perlu mencari air dari satu blok ke blok yang lain.

"Kalau ada air pun, hanya di bawah kerana tidak dapat naik ke setiap tingkat kediaman. Selain itu, pelajar juga terpaksa mencari air hingga ke bangunan fakulti," katanya kepada BH, di sini.

Semalam, pelajar UMS menyambut lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dengan demonstrasi menyatakan situasi dialami mereka akibat masalah air di kampus itu.

Mohd Dhan Dhan berkata, pelajar yang mempunyai keluarga dekat dengan kampus kebanyakannya membuat keputusan untuk pulang, namun bagi pelajar yang jauh dari keluarga, mereka terpaksa berdepan dengan situasi itu.

"Kalau mahu membasuh pakaian, pelajar terpaksa mengangkut pakaian ke luar kampus untuk mencari kedai dobi di bandar atau kedai berdekatan.

"Situasi ini memang memeritkan pelajar dan kita sangat berharap ia dapat diatasi segera demi keselesaan pelajar," katanya.

Mohd Dhan Dhan berkata, pengurusan UMS memang mengambil langkah membantu menangani masalah air yang dihadapi pelajar, termasuk memastikan lebih banyak bekalan disalur ke kolej kediaman.

Katanya, ketika ini bekalan air di kampus UMS bergantung kepada sumber paip JANS yang pada tahap rendah, selain bekalan air yang dihantar dengan lori dan beberapa inisiatif diambil UMS sendiri.

Pada 31 Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada UMS untuk menyelesaikan masalah itu.

Pengumuman itu dibuat Anwar ketika Program Temu Anwar di Dewan Canselor UMS apabila diadukan masalah air yang dihadapi pelajar UMS oleh Presiden MPP UMS, Jeeva Casanddra Abdul Mumin.

Difahamkan, UMS sudah memanfaatkan dengan sebaik mungkin peruntukan itu untuk melaksanakan beberapa usaha berkaitan pengurusan bekalan air di universiti itu.

Masalah air di UMS dan sekitarnya berpunca daripada kekurangan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berikutan peningkatan permintaan berbanding bekalan.

Berita Harian X