Selasa, 9 Januari 2024 | 1:18pm
Laporan dalam BH Online semalam.
Laporan dalam BH Online semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu diharap segerakan kajian gaji penjawat awam - CUEPACS

KUALA LUMPUR: CUEPACS berharap pelantikan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu, dapat menyegerakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata usaha itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menyegerakan pelaksanaan skim gaji lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

Beliau berkata, perkhidmatan awam sememangnya memerlukan pemimpin berpengalaman luas yang dekat dengan kakitangannya agar permasalahan serta hal kebajikan penjawat awam dapat disantuni dengan berkesan.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

"CUEPACS yakin kepemimpinan dan pengalaman luas dimiliki Wan Ahmad Dahlan mampu menerajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ke arah lebih baik selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

"CUEPACS berharap pelantikan beliau mampu menyegerakan kajian SSPA yang perlu selari dengan hasrat Perdana Menteri untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

"Selain meningkatkan mutu perkhidmatan awam, CUEPACS berharap beliau mampu mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan kakitangan kerajaan terutama membabitkan peringkat pengurusan tertinggi dan kumpulan pekerja sokongan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, hubungan baik antara pegawai tertinggi dan kakitangan perlu terus dipupuk bagi memastikan kualiti perkhidmatan awam sentiasa dapat ditingkatkan selaras dengan kebajikan warganya.

Berikutan itu, katanya, CUEPACS meminta semua penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan harus dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang.

"Penjawat awam perlu menunjukkan profesionalisme melalui sikap dan tindakan yang mencerminkan integriti, kecekapan, dan perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

"Mereka harus menghindari konflik kepentingan dan bertindak dengan kejujuran dalam setiap aspek kerja. Kecekapan dalam melaksanakan tugas dengan efisien dan efektif adalah penting apabila kita semua memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Pada masa sama, CUEPACS turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed atas segala sumbangan dan jasa beliau sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebelum ini.

Berita Harian X