Selasa, 9 Januari 2024 | 9:06am

Usah perjudi nasib rakyat dengan gerakan tumbang kerajaan

KELIHATANNYA episod pembangkang mahu menumbangkan kerajaan memerintah hari ini dengan menggunakan akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen masih berterusan. Pengakuan terbaru datangnya daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai jumlah SD mencukupi bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Berbekalkan perkembangan ini, timbul persoalan adakah kerajaan dapat ditumbangkan menerusi SD yang ditanda tangani Ahli Parlimen ketika Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau Akta Anti Lompat parti dilaksanakan sejak Oktober 2022.

Pelbagai tafsiran dan pandangan dikemukakan ilmuwan serta pakar undang-undang berhubung penggunaan SD untuk menumbangkan sesuatu kerajaan apabila akta berkenaan sudah diwarta dan dikuatkuasakan. Ada yang berpandangan SD sudah tidak berguna lagi untuk menjatuhkan kerajaan apabila Akta Anti Lompat diluluskan, namun ada juga berpendirian SD masih boleh menjadi senjata menggulingkan kerajaan.

Dua polemik tafsiran ini sahaja sudah menimbulkan kekeliruan umum. Namun, berdasarkan akta berkenaan, seorang Ahli Parlimen perlu patuh dan akur kepada keputusan parti atau secara 'en-bloc' sama ada menyokong atau menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, apabila ada lima Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tanpa perlu melompat parti dan kedudukan mereka juga tidak terlucut, maka tindakan itu menyerlahkan kemungkinan penggunaan SD boleh dijadikan sebagai satu justifikasi untuk menumbangkan kerajaan.

Bermakna, pernyataan sokongan lima Ahli Parlimen BERSATU menyokong Perdana Menteri boleh menjadi kes duluan atau teladan mewajarkan sebarang kemungkinan yang kerajaan masih boleh ditumbangkan menerusi SD. Dalam arena politik, segala-galanya tidak mustahil berlaku.

Usah perjudi nasib rakyat dengan gerakan tumbang kerajaan. - Foto hiasan
Usah perjudi nasib rakyat dengan gerakan tumbang kerajaan. - Foto hiasan

Bahkan, tempoh Parlimen penggal ke-14 membuktikan kerajaan boleh bertukar ganti dalam tempoh sepenggal disebabkan percaturan politik dimainkan parti serta Ahli Parlimen.

Perkembangan terbaru ini boleh dianggap detik malang bagi rakyat dan negara jika pertukaran kerajaan menjadi realiti walaupun dari sudut Perlembagaan, ia tidak menjadi satu kesalahan. Bayangkan berapa banyak kerugian ditanggung negara dan rakyat jika tidak habis-habis politiking, bertukar ganti kerajaan dalam tempoh singkat.

Bagaimana negara hendak maju dan landasan ekonomi kembali kukuh jika orang politik tidak henti-henti berebut kuasa untuk menjadi kerajaan. Pengalaman bertukar-tukar kerajaan sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua betapa rakyat menjadi mangsa akibat perebutan kuasa orang politik.

Pada masa sama, pelabur asing juga tidak yakin untuk melabur di negara ini akibat krisis politik tidak berkesudahan sehingga akhirnya kehidupan rakyat terjejas akibat tiada kestabilan dalam negara. Justeru, kita perlu bersama-sama hentikan kebejatan amalan politik ini jika mahu hidup makmur, aman dan sejahtera.

Berita Harian X