Selasa, 9 Januari 2024 | 1:09am
Antara kawasan ditenggelami banjir di Kota Tinggi, Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Antara kawasan ditenggelami banjir di Kota Tinggi, Johor. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Banjir teruk di Kota Tinggi, TNB tutup bekalan elektrik di sebahagian lokasi

JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di 33 lokasi sekitar daerah Kota Tinggi yang kini teruk terjejas banjir, sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata bagaimanapun setakat jam 8 malam tadi, bekalan elektrik di lima lokasi telah pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, bekalan elektrik di Johor Bahru yang ditutup di tiga lokasi juga telah pulih sepenuhnya.

"Sebelum ini, Kampung Paya Kenangan, Taman Ulam Raja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Maju Jaya di Johor Bahru telah ditutup bekalan elektrik, namun telah dipulihkan sepenuhnya pada petang tadi," katanya ketika dihubungi, di sini.

Sementara itu, menurut notis dikeluarkan TNB dalam Facebook TNB Careline, bekalan elektrik di beberapa kawasan telah disambung semula setelah air surut.

Kenyataan itu turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi pepasangan elektrik yang terendam dalam banjir, kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus elektrik.

Berita Harian X