Isnin, 8 Januari 2024 | 5:18pm
Steven Sim Chee Keong (tiga, kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir temuduga pada program Karnival Kerjaya di Pejabat Perkeso Seberang Jaya hari ini.
Steven Sim Chee Keong (tiga, kiri) beramah mesra dengan orang ramai yang hadir temuduga pada program Karnival Kerjaya di Pejabat Perkeso Seberang Jaya hari ini.
Steven Sim (kiri) bersama CEO PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua dari kiri) menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Che Meh Abdullah sempena lawatan kerja di Pejabat PERKESO Pulau Pinang hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Steven Sim (kiri) bersama CEO PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua dari kiri) menyampaikan faedah hilang upaya kekal kepada Che Meh Abdullah sempena lawatan kerja di Pejabat PERKESO Pulau Pinang hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad

Gangguan air: Jangan paksa pekerja ambil cuti tahunan, potong gaji - Steven Sim

BUTTERWORTH: Majikan boleh didenda hingga RM50,000 di bawah Akta Kerja 1955 jika memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau memotong gaji sewenang-wenangnya apabila memilih untuk menghentikan sementara operasi syarikat susulan gangguan bekalan air di Pulau Pinang pada 10 hingga 14 Januari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata majikan dan pekerja boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja jika terdapat kes sebegini bagi mendapatkan panduan dan nasihat sebelum melaksanakan dasar masing-masing.

Beliau mengulas dakwaan pekerja di sektor perkilangan yang diminta menggunakan cuti tahunan atas alasan kilang menghentikan operasi sementara akibat gangguan bekalan air.

Sim berkata demikian kepada wartawan selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pulau Pinang hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Hanya 200,000 suri rumah mencarum SKSSR

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya menerusi PERKESO akan memperkenalkan lebih banyak langkah untuk meningkatkan jumlah suri rumah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) kepada 500,000 orang tahun ini.

Ketika ini katanya, jumlah pencarum untuk skim berkenaan adalah kira-kira 200,000 orang sahaja sejak diperkenalkan pada penghujung 2022.

"Mengikut statistik, terdapat lebih kurang tiga juta wanita yang merupakan suri rumah sepenuh masa di negara ini, maka jumlah 200,000 ini sangat rendah.

"Kita akan umumkan langkah dan strategi seterusnya untuk meningkatkan jumlah ini dalam masa terdekat," katanya.

Sim berkata skim itu tidak terhad kepada suri rumah sahaja kerana wanita bekerja juga boleh mencarum skim SKSSR dengan bayaran RM120 setahun iaitu hanya RM10 sebulan, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu. – BERNAMA

Berita Harian X