Isnin, 8 Januari 2024 | 12:43pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 "Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional" hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 "Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional" hari ini. - Foto BERNAMA

Tumpu siasat wang dibelanjakan, pelaburan emas Aman Palestin - Azam Baki

SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) kini tertumpu mengenai wang yang dibelanjakan pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat berkaitan.

Katanya, turut disiasat mengenai pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di Palestin, Syria dan beberapa negara lain.

"Kita siasat sama ada betul atau tidak wang derma itu sudah dihantar ke Palestin, Syria dan beberapa negara lain.

"Kita juga siasat bagaimana wang itu di hantar ke negara berkenaan dan ini menjadi persoalan dalam sisatan pegawai siasatan kita ... termasuk pelaburan jongkong emas seperti didakwa mereka ," katanya kepada media ditemui selepas majlis pelancaran Arahan Perdana Menteri No 1 Tahun 2023 di sini, hari ini.

Bulan lalu, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

Azam menjelaskan SPRM mengambil masa yang lama menyiasat kerana perlu mendapatkan pengesahan mengenai wang yang sudah diserahkan kepada pihak tertentu.

Katanya, baki wang yang ada dalam akaun Aman Palestin masih perlu dibekukan untuk siasatan lanjut.

"Banyak perkara yang menimbulkan persoalan daripada siasatan dan kita kena terus menyiasat, ini satu yang lazim dalam siasatan kita," katanya.

Berita Harian X