Isnin, 8 Januari 2024 | 10:51am
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto fail NSTP

Abdul Hadi masih tidak dibenarkan menerima pelawat

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih tidak dibenarkan menerima pelawat, walaupun kesihatannya bertambah baik.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata pengurusan Institut Jantung Negara (IJN) masih tidak membenarkan Ahli Parlimen Marang itu menerima pelawat.

"Kita menghubunginya pagi ini dan kesihatan Abdul Hadi yang dimasukkan ke IJN pada 1 Januari lalu semakin baik dan akan dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat.

"Berdasarkan kesihatan terkini ayahanda tuan guru, sepatutnya dia sudah boleh keluar daripada IJN, tetapi doktor meminta berehat secukupnya.

"Kesihatan ayahanda tuan guru semakin baik...dijangka discaj dalam tempoh terdekat, Insya-Allah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Hadi dimasukkan ke IJN pada 1 Januari lalu kerana perlu melakukan pemeriksaan susulan mengikut rutin kesihatan seperti ditetapkan.

Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mengesahkan Abdul Hadi juga tidak sabar serta meminta untuk keluar daripada IJN dan balik ke kediaman.

"Bagaimanapun, ayahanda tuan guru juga perlu mematuhi prosedur ditetapkan oleh IJN.

"Pengurusan IJN masih melakukan pemantauan dan meminta ayahanda tuan guru berehat secukupnya sebelum dibenarkan keluar," katanya.

Mohd Syahir juga turut memaklumkan Abdul Hadi turut tidak digalakkan menerima pelawat selepas dibenarkan keluar daripada IJN.

Berita Harian X