Isnin, 8 Januari 2024 | 8:38am

Kaji model universiti luar tanpa jejaskan asas kekuatan pendidikan

Cabaran Perdana Menteri terhadap cendekiawan dan pemimpin universiti melakukan anjakan paradigma mendepani cabaran dunia pascanormal sering dijolok era pergolakan, ketidakpastian, kekompleksan dan kekaburan (VUCA) mendapat sambutan melihatkan keputusan dicapai dalam Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka 'panggung' dengan menyinggung kerencaman permasalahan merangkumi identiti dan falsafah pendidikan serta keperluan perubahan budaya pengurusan dan akademik, selain tuntutan perlu dilaksanakan universiti dalam menyediakan modal insan kepada negara.

Justeru, dalam menyahut cabaran itu, antara keputusan dicapai dalam wacana membabitkan 500 peserta membabitkan pengurusan tertinggi universiti awam (UA) dan swasta, cendekiawan, pakar, tokoh pendidikan serta peserta industri adalah mengkaji model pengajian universiti terkemuka di seluruh dunia dan menyerapkannya ke institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ia termasuk dengan menjemput pakar industri dan profesional dari luar untuk bersama-sama memperkasa menara gading tanah air.

Foto hiasan. - Bernama
Foto hiasan. - Bernama

Hakikatnya, kita menyedari isu membelenggu mutu siswazah turut dikaitkan subjek dan bidang tidak relevan bukan hanya menjadi polemik berterusan, bahkan antara faktor menjejaskan kebolehpasaran mereka hingga sukar mendapat pekerjaan termasuk 29,000 graduan masih menganggur selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2022 seperti didedahkan akhir tahun lalu. Ia diburukkan lagi dengan tahap penguasaan bahasa, kelemahan pengetahuan am dan ketiadaan kemahiran insani yang boleh menjadi nilai tambah untuk bersaing di pasaran pekerjaan.

Bagaimanapun, kita mengingatkan usaha memperkasa IPT tidak boleh menggunakan jalan pintas dengan cara menyalin bulat-bulat meskipun daripada universiti terkemuka dunia kerana bukan sahaja menjadi resipi kegagalan seperti pernah dialami, bahkan kesannya berterusan hingga kini seperti keghairahan mengejar ranking dan deretan jurnal berimpak tinggi. Lebih penting, perubahan dasar perlu bermula dengan memperbetulkan pandangan alam pemimpin universiti terhadap falsafah pendidikan sebenar dan fungsinya dalam melahirkan graduan berkepakaran untuk dimanfaatkan industri, bahkan kemanusiaan yang dapat menyumbang kepada negara serta dunia.

Pada masa sama, kita menyarankan KPT dan universiti tidak memulakan perubahan secara terpisah daripada peradaban dan pengalaman lalu untuk mengelak daripada melakukan strategi hampir sama tetapi mengharapkan keputusan berbeza, selain memastikan faktor sebenar kejayaan dapat dimanfaatkan supaya kita tidak mengalami apa diingatkan pepatah sebagai yang dikejar tak kedapatan, yang dikejar berciciran.

Dalam konteks semasa, isu dan cadangan dikemukakan Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) tidak boleh diabaikan meskipun menterinya berubah daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagi memastikan kesinambungan yang dapat memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara.

Berita Harian X