Ahad, 7 Januari 2024 | 3:09pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kurikulum IPT dirombak, utamakan persediaan cabaran lebih besar

KUALA LUMPUR: Kurikulum pendidikan tinggi negara sudah ketinggalan zaman dan perlu dirombak segera bagi menyediakan graduan negara ini untuk berdepan dengan dunia yang lebih mencabar serta pantas berubah.

Justeru, Naib Canselor universiti berpendapat, Malaysia memerlukan input bagi tujuan itu, bukan saja daripada profesional pendidikan tempatan, malah dari luar negara, terutama dalam bidang teknologi baharu, yang Malaysia masih jauh ketinggalan.

Naib Canselor Perdana University, Kuala Lumpur, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata melalui input yang diperoleh, Malaysia dan negara luar dapat berkongsi pengalaman dan cabaran yang dilalui, untuk dimanfaatkan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Mohamed Mustafa yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, berkata kurikulum IPT perlu diperbaharui segera, malah wujud keperluan mendesak untuk membangunkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), yang hala tujunya dilihat masih belum kukuh.

"Ahli akademik kita juga, dalam beberapa bidang tertentu perlu dilatih semula, "upskilling" dan "reskilling."

"Jika mereka tidak berubah minda dan cara berfikir serta menguasai bidang baharu, transformasi pendidikan, khususnya agenda pendigitalan pendidikan sukar dilakukan dan berhasil dengan pantas," katanya kepada BH, hari ini.

BH, hari ini melaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuat beberapa keputusan untuk mengangkat martabat universiti tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata antara yang dicapai hasil perbincangan bersama pada sesi pemukiman sempena Wacana Strategi KPT yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu, adalah menjemput pakar dan profesional dari luar untuk bersama-sama cendekiawan serta pemimpin universiti memperkasa IPT.

Selain itu, model pengajian universiti terkemuka di seluruh dunia akan dikaji dan diserapkan dalam pengajian di IPT tempatan, termasuk dalam TVET.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata pihak pemberi pendidikan di universiti perlu bersama-sama pemegang taruh penting di luar supaya universiti sentiasa peka kepada keperluan masa hadapan yang bersifat jangka pendek dan sederhana.

Ini termasuk pihak industri, komuniti dan badan yang boleh membantu melakarkan kedudukan masa hadapan.

"IPT perlu melihat model pengajaran dari luar yang boleh membantu mentransformasi kaedah pengajaran dan pembelajaran di Malaysia supaya ia lebih sesuai dengan keperluan serta kaedah pembelajaran generasi semasa bagi membantu mencapai hasil pembelajaran terbaik.

"Tidak semestinya semua yang dilakukan pihak luar perlu dibawa ke Malaysia tetapi perlulah diadaptasi, sesuai dengan keperluan tempatan dan kekangan yang wujud," katanya.

Bagi Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin, langkah mendapatkan pandangan industri dan profesional luar serta menerapkan model pengajian yang bermutu dan berjaya bukanlah sesuatu yang asing, malah sudah pun berlangsung, terutama dalam bidang TVET.

"Kami dalam Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) perlu sentiasa menyediakan silibus dan program pengajian yang menepati keperluan industri supaya pelajar yang kami lahirkan bersedia untuk alam pekerjaan dan relevan dengan industri.

"Percambahan akademik yang menepati keperluan industri juga adalah penting untuk percambahan ekonomi negara kerana IPT yang menyediakan bakat yang diperlukan pihak pelabur," katanya.

Berita Harian X