Ahad, 7 Januari 2024 | 2:40pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Asyraf Wajdi luah kecewa bantuan 'tak sampai' akibat politik kebencian

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini meluahkan rasa kekecewaan apabila hasratnya membantu lima bersaudara di sebuah daerah di Kelantan terbantut akibat pemikiran politik kebenciaan.

Beliau berkata, niatnya hanya untuk membantu mereka yang dalam kesusahan tanpa sebarang ideologi politik dan kaum tetapi tidak kesampaian akibat doktrin politik yang mengecewakan.

"Seorang hamba Allah iaitu Puan X menulis komen dan minta tolong dengan saya susulan hantaran saya di media sosial yang membantu dua beradik yang berniaga. Katanya ada kes serupa yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan.

"Saya minta Puan X beri maklumat mengenai adik Afiq (bukan nama sebenar) pelajar Tingkatan Lima, abang kepada empat adik-adik yang lain. Bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya berada di hospital kerana penyakit kencing manis yang kronik.

"Kisah ni benar-benar meruntun jiwa saya kerana saya juga punya anak-anak sebaya mereka. Justeru tanpa teragak saya mahu hulurkan bantuan wang tunai yang sudah pun diserahkan kepada sahabat saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas untuk diserahkan (kepada keluarga)," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf berkata, pertolongannya bagaimanapun ditolak oleh adik Afiq berkenaan kerana takut dimarahi oleh ibunya yang juga penyokong kuat kepada sebuah parti.

"Adik Afiq ini berkali-kali menolak kerana takut dimarahi ibunya penyokong kuat parti berlabel agama kerana didakwa 'wang daripada UMNO adalah haram'.

"Saya ikhlas membantu kerana kasihan dengan nasib lima anak-anak kecil yang bagaikan tiada pembelaan tanpa langsung memperkirakan warna parti. Prinsip saya selagi mereka orang miskin dan fakir, tidak kira ideologi parti mahupun kaum, wajib dibantu.

"Namun akibat taksub berpolitik, sanggup mendoktrinasi pemikiran anak-anak sehinggakan takut nak terima bantuan walaupun mereka melarat," katanya.

Beliau turut meminta pemimpin politik untuk menoktahkan politik taksub yang membenci dan menyesatkan antara satu sama lain, kerana mangsa adalah anak kecil yang tidak berdosa.

Berita Harian X