Ahad, 7 Januari 2024 | 1:53pm
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - Foto fail NSTP
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. - Foto fail NSTP

Pihak urus harta zakat dinasihat laksana tugas dengan jujur, berintegriti - Mufti Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pihak yang dilantik kerajaan bagi menguruskan harta zakat perlu memikul amanah dalam melaksanakan tugas itu dengan jujur dan bertanggungjawab, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor.

"Mereka yang diberi tanggungjawab mengurus harta zakat dinasihat supaya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan melaksanakan tugas dengan jujur dan integriti.

"Perlu diingatkan setiap amalan yang dilakukan di dunia akan dibentangkan di hadapan Allah SWT pada hari kiamat dan akan dibalas sewajarnya.

"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah sementara, akhirat jua yang kekal abadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Salim berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan dua individu berhubung siasatan ke atas sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Pasangan suami isteri itu disyaki menjalankan kutipan menerusi transaksi dalam talian atau online.

Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika ditanya mengenai modus operandi pasangan berkenaan ketika mengendalikan syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk itu.

Wan Salim berkata, pihak penguatkuasa berkaitan perlu bertindak mencegah penyelewengan itu dengan mendakwa pelakunya serta diadili di mahkamah mengikut undang-undang sedia ada.

"Firman Allah SWT bemaksud 'bahawa Allah (SWT) memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya (Surah an-Nisa, ayat 58).

"Dengan membelanjakan harta dan wang zakat bagi sebarang tujuan selain daripada mengagihkan kepada asnaf, maka ia adalah penyelewengan dan perbuatan dosa yang mesti dihindari," katanya.

Berita Harian X