Ahad, 7 Januari 2024 | 1:38pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Tipu pakej umrah, syarikat didakwa Selasa ini

TENOM: Sebanyak 88 kertas siasatan dibuka bagi kes penipuan pakej umrah membabitkan 47 mangsa, Disember lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sebahagian siasatan sudah lengkap dan syarikat berpangkalan di Putrajaya itu sudah menerima notis pendakwaan.

"Pendakwaan akan dilakukan pada 9 Januari ini mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Dalam isu penipuan umrah ini, bidang kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terkait kepada aspek kepenggunaan.

"Aspek pelesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian serta agensi berbeza.

"Ketua setiausaha kementerian sudah diarah mengadakan perbincangan segera melalui jawatankuasa bersama pihak berkaitan membabitkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berkaitan pelesenan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi unsur-unsur jenayah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Pejabat Peguam Negara.

"Ini selepas mengambil kira isu dan kes membabitkan penipuan umrah semakin banyak," katanya ketika sidang media selepas meninjau pelaksaan Program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) membabitkan beberapa pusat penjualan di sini, hari ini.

Armizan mengulas mengenai kes penipuan pakej umrah membabitkan sekumpulan 47 mangsa pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, KPDN meminta meminta semua mangsa kes penipuan pakej umrah terbabit membuat aduan rasmi kepada KPDN bagi memudahkan siasatan terperinci dilaksanakan.

Mangsa menggesa KPDN mengambil tindakan terhadap sebuah syarikat pelancongan selepas gagal membayar ganti rugi seperti diminta Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Kumpulan yang dibawa Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu juga mahu syarikat terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kerana didakwa pernah memperdayakan ramai mangsa sebelum ini.

Berita Harian X