Ahad, 7 Januari 2024 | 12:17pm
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (dua dari kanan) memberi kata-kata semangat kepada pesara polis yang mengalami masalah jantung, Othman Mohamed Said, 61, ketika penerbangan ihsan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum berlepas dari padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa di sini. - Foto NSTP/Danial Saad
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin (dua dari kanan) memberi kata-kata semangat kepada pesara polis yang mengalami masalah jantung, Othman Mohamed Said, 61, ketika penerbangan ihsan oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum berlepas dari padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa di sini. - Foto NSTP/Danial Saad

Pesara polis dihantar ke IJN melalui penerbangan ihsan

BUKIT MERTAJAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar seorang pesara mereka yang memerlukan rawatan segera ke Institut Jantung Negara (IJN) melalui penerbangan ihsan, hari ini.

Sub Inspektor (B) Othman Mohamed Said, 62, mengalami sesak nafas akibat serangan jantung selepas menunaikan solat Maghrib di sebuah masjid, di sini, kelmarin sebelum dibawa pulang ahli kariah ke rumahnya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata pesara itu kemudian dibawa ahli keluarga untuk menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Bandar Perda sebelum doktor memberitahu dia perlu segera dihantar ke IJN.

"Polis mendapat maklumat dari ahli keluarga dan kita bersedia membantu berikutan pesara juga adalah sebahagian mereka yang berkhidmat dalam pasukan kita hingga mereka pencen, maka kebajikan mereka pada kita sama seperti orang yang sedang berkhidmat.

"Apatah lagi, pesara ini memerlukan rawatan dengan segera dan berharap segala urusannya dipermudahkan," katanya ketika hadir menyaksikan operasi penerbangan ihsan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, di sini, hari ini.

Selain Othman, penerbangan ihsan dikendalikan juruterbang, Superintendan Amirul Adli Ahmad serta pembantunya, Superintendan Mohd Fairuz Jamil kira-kira jam 9 pagi itu turut disertai dua kru penerbangan, seorang doktor pakar dan seorang jururawat.

Turut menaiki helikopter terbabit adalah isteri kepada pesakit, Norehan Desa, 50.

Jelasnya, Othman bersara sebagai anggota polis ketika berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, dua tahun lalu.

Sementara itu, adik ipar Othman, Norisyam Desa, 39, berkata dia berterima kasih kepada PDRM kerana sudi membantu melancarkan urusan pihak keluarga sekali gus membolehkan abang iparnya mendapat rawatan secepat mungkin.

"Sebenarnya pada 2015, dia (abang ipar) pernah kena sekali serangan jantung tetapi ketika itu, keadaannya tidak seteruk ini.

"Kali ini, serangan jantung dialaminya menyebabkan pembuluh darah pecah dan terkoyak yang memerlukan rawatan dengan segera," katanya.

Berita Harian X