Ahad, 7 Januari 2024 | 8:18am

Bunyi dengusan bawah almari dapur rupanya 'King Cobra' sedang berehat

BALING: Bunyi dengusan di bawah rak baju berhampiran dapur mengejutkan seorang penduduk Kampung Keledang, di sini apabila mendapati seekor ular tedung selar yang sedang 'berehat'.

Kejadian itu disedari penduduk terbabit pada jam 4.30 petang semalam ketika hendak memasak makanan di dapur rumah berkenaan.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, dia terus menghubungi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling untuk mendapatkan bantuan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada jam 4.40 petang bergegas ke lokasi dan tiba di situ kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, lima anggotanya yang tiba di situ kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular tedung selar itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.

"Ular tedung selar atau lebih dikenali sebagai King Cobra sepanjang lima meter dan beratnya 20 kilogram (kg) itu akhirnya berjaya ditangkap dan dibawa pulang ke pejabat APM Baling untuk tindakan lanjut.," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Faizol berkata, dalam tempoh enam hari pada bulan ini, pihak APM Baling menerima laporan 12 kes berkaitan ular yang mana enam kes itu membabitkan ular tedung selar.

"Bagaimanapun kami menasihatkan penduduk supaya berhati-hati dan jangan bertindak sendiri memukul ular kerana bimbang keselamatan terancam sekiranya diserang atau dipatuk, sebaliknya terus menghubungi pasukan penyelamat di talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Baling sendiri di talian

019-5307091 (24 jam).

Dalam pada itu, Mohd Faizol berkata, statistik sepanjang tahun lalu menunjukkan pihaknya mengendalikan 676 kes tangkapan ular.

Anggota APM Baling menangkap ular tedung selar yang ditemui di bawah rak baju rumah penduduk di Kampung Kelebang, semalam. - Foto APM
Anggota APM Baling menangkap ular tedung selar yang ditemui di bawah rak baju rumah penduduk di Kampung Kelebang, semalam. - Foto APM
Berita Harian X