Ahad, 7 Januari 2024 | 7:53am
Antara pesawat Boeing 737 MAX 9 di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Seattle, Washington di Amerika Syarikat (AS) yang operasinya digantung sehingga selesai menjalani pemeriksaan. - Foto AFP
Antara pesawat Boeing 737 MAX 9 di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Seattle, Washington di Amerika Syarikat (AS) yang operasinya digantung sehingga selesai menjalani pemeriksaan. - Foto AFP

AS gantung penerbangan pesawat Boeing 737 MAX 9 selepas kecemasan

WASHINGTON: Pengawal selia keselamatan udara Amerika Syarikat (AS) semalam mengarahkan penggantungan penerbangan dan pemeriksaan terhadap beberapa pesawat Boeing 737 MAX 9.

Arahan dikeluarkan selepas panel tingkap salah sebuah pesawat berkenaan tercabut ketika melakukan penerbangan merentasi Oregon.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) 'meminta pemeriksaan segera pesawat Boeing 737 MAX 9 tertentu selepas ia boleh kembali melakukan penerbangan', kata agensi itu di platform X.

Menurut FAA, pemeriksaan itu membabitkan 171 pesawat model berkenaan di seluruh dunia, dengan setiap pemeriksaan mengambil masa antara empat hingga lapan jam.

"Keselamatan menjadi keutamaan kita dalam setiap keputusan yang dibuat," kata FAA dalam kenyataan.

Alaska dan United Airlines menerbangkan paling banyak pesawat MAX 9, susulan Boeing memberitahu AFP bahawa ia sudah menyerahkan sekitar 218 pesawat 737 MAX 9 setakat ini.

Panel tingkap pesawat Boeing 737 MAX 9, penerbangan Alaska Airlines 1282 yang tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat, ketika dalam penerbangan ke Ontario, California. - Foto REUTERS
Panel tingkap pesawat Boeing 737 MAX 9, penerbangan Alaska Airlines 1282 yang tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat, ketika dalam penerbangan ke Ontario, California. - Foto REUTERS

Pada Jumaat, Alaska Airlines yang berpangkalan di AS menggantung penerbangan kesemua 65 pesawat Boeing 737 MAX 9.

Keputusan itu dibuat selepas salah satu penerbangan membawa 177 penumpang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas ada penumpang mendakwa panel tingkap tercabut sejurus berlepas.

Penerbangan Alaska Airlines 1282, yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland pada petang Jumaat, berpatah balik dengan selamat dalam 20 minit selepas kru penerbangan melaporkan 'isu tekanan', menurut FAA.

Imej yang dipaparkan di media sosial menunjukkan panel tingkap pesawat tercabut, dengan topeng oksigen tergantung dari siling pesawat.

"Susulan kemalangan dalam Penerbangan 1282, kami memutuskan untuk mengambil langkah pencegahan dengan menggantung sementara penerbangan kesemua 65 pesawat Boeing 737-9.

.

"Setiap pesawat hanya akan kembali beroperasi selepas pemeriksaan penuh unit penyenggaraan dan keselamatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Alaska Airlines, Ben Minicucci, dalam satu kenyataan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, FAA dan Alaska Airlines, masing-masing mengumumkan akan melancarkan siasatan.

Boeing menulis di platform X bahawa pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat dan sebuah pasukan teknikal sudah bersedia untuk membantu siasatan. - AFP

Berita Harian X