Sabtu, 6 Januari 2024 | 10:18pm
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

KPM siasat kes buli pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan berkaitan video tular menerusi media sosial melibatkan kes salah laku buli pelajar sekolah bagi memastikan perkara itu diselesaikan segera.

KPM dalam kenyataan memaklumkan langkah awal itu berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Bawah KPM.

"Ini termasuk menghubungi ibu bapa atau penjaga, menjalankan siasatan telus dan terperinci, memaklumkan kes kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua murid terlibat.

"Pihak sekolah juga diminta memastikan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang bersalah dan direkodkan kerana KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya," menurut kenyataan itu.

Hari ini, tular menerusi media sosial video rakaman aksi seorang remaja dilihat duduk di atas badan mangsa ketika mereka bergelut di dalam kawasan semak yang kemudiannya turut mengambil plastik berisi daun kering sebelum membuangnya ke atas kepala mangsa.

KPM dalam kenyataan itu turut menyeru semua pihak termasuk media dan orang ramai mematuhi peruntukan undang-undang dengan tidak menularkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam salah laku buli.

"Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah tidak boleh didedahkan dan perlu dilindungi. Masyarakat juga diminta untuk tidak menormalisasikan salah laku buli," menurut KPM.

Aduan kes buli dan gangguan seksual boleh dibuat melalui talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, e-mel [email protected] dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA). – BERNAMA

Berita Harian X