Sabtu, 6 Januari 2024 | 6:43pm
Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistic Group Sdn. Bhd, Datuk Seri Dr Michael Tio pada Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) KL, hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Ketua Pegawai Eksekutif, PKT Logistic Group Sdn. Bhd, Datuk Seri Dr Michael Tio pada Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) KL, hari ini. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Kolaborasi pemain industri, universiti mampu selesai masalah kebergantungan pekerja asing

KUALA LUMPUR: Kolaborasi antara pemain industri dan pihak universiti mampu menyelesaikan masalah kebergantungan pekerja asing yang sedang dialami oleh negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKT Logistic Group Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Michael Tio berkata ketika ini industri banyak mengambil pekerja asing kerana tidak mahu berkolaborasi dengan universiti dalam melahirkan tenaga kerja yang diperlukan.

Katanya, banyak syarikat yang mengambil jalan mudah dan murah dengan tidak mengambil inisiatif untuk membangunkan bekalan modal insan bagi memajukan perusahaan mereka.

"Hasil kolaborasi dengan pelbagai universiti dan politeknik tempatan pada tahun lalu, kami mendapat perolehan sebanyak RM1 bilion dengan 2,000 kakitangan, di mana semuanya adalah warga tempatan.

"Kami menjadi contoh syarikat yang tidak menggunakan pekerja asing dan usaha ini sudah kami lakukan sejak 10 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi forum Wacana Strategi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Program selama dua hari bermula semalam bertujuan menyelaraskan semula strategi selain merangka hala tuju strategik KPT, mencadangkan program atau inisiatif serta membincangkan isu-isu strategik berkaitan KPT dan cadangan penyelesaian bagi tahun ini.

Pelaksanaan objektif wacana ini diterjemahkan dalam beberapa sesi pembentangan dan forum secara interaktif oleh pembentang, ahli panel serta pakar dalam bidang masing-masing.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada forum itu, Michael turut mengingatkan industri bergerak lebih pantas berbanding subjek yang diajar di universiti.

Katanya, adalah penting untuk pemain industri duduk dalam panel penasihat dan menjadi sebahagian daripada anggota semakan kukurikulum di universiti bagi mengemas kini keperluan industri.

"Perkara itu bertujuan membolehkan universiti membekalkan semula graduan kepada industri.

"Malaysia mempunyai banyak tenaga kerja, namun pelajar di universiti mempelajari subjek dan mata pelajaran yang tidak relevan dengan industri. Sebab itu, lepas tamat pengajian, mereka tidak dapat pekerjaan," katanya.

Pada masa sama, Michael turut menyarankan pihak universiti menjalin lebih banyak kerjasama dengan sektor perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk program pemindahan serta perkongsian ilmu dalam membangunkan negara.

Katanya, ketika ini pihak universiti lebih banyak mengejar perusahaan besar dalam hal membabitkan perkongsian ilmu dan latihan amali.

Menurutnya, syarikat besar tidak mempunyai masa untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada pelajar yang melakukan latihan amali.

"Perusahaan besar juga tidak mempunyai banyak masa untuk berkolaborasi dengan pelbagai universiti. Mereka mungkin hanya akan bekerjasama dengan satu universiti.

"Perkara ini menyebabkan kita tidak dapat melihat hasil yang diinginkan. Mengambil contoh PETRONAS, di mana semua universiti dan pelajar mahu masuk ke PETRONAS, tetapi berapa banyak yang mereka mampu ambil. Oleh itu, pilih SME yang ingin memajukan perusahaan mereka ke tahap yang lain," katanya.

Michael berkata banyak syarikat SME yang sedang berkembang dan pihak universiti perlu mengadakan perbincangan bagi mengetahui jumlah pekerja diperlukan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Pihak universiti perlu melihat gambaran besar untuk memposisikan pelajar mereka di masa hadapan," katanya.

Berita Harian X